SEREMBAN 18 Dis. - Sikap seramai 20 pelajar kolej termasuk dua warga Nigeria tidak membawa dokumen pengenalan diri semasa keluar ke bandar menerima padah apabila mereka ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen negeri di sekitar Nilai, di sini malam tadi.
Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, mereka yang ditahan dalam operasi pukul 9 malam itu, hanya mengemukakan kad pelajar dan surat dari sebuah kolej swasta di sini, kononnya adalah penuntut di kolej berkenaan.
"Bagaimanapun, apabila diminta menunjukkan dokumen sah atau pas pelajar, mereka gagal berbuat demikian.
"Mereka yang ditahan ialah dua rakyat Nigeria, Nepal (tiga), Mesir (tiga), Myanmar (sembilan) dan Republik Of Guinea (tiga)," katanya ketika ditemui selepas operasi di sini semalam.
Menurutnya, kesemua yang ditahan dalam operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun.
Kata Faizal Fazri, semua warga asing tersebut ditahan untuk siasatan lanjut kerana kad pelajar dan surat daripada kolej berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai dokumen perjalanan yang sah.
"Kita tidak tahu sama ada dokumen yang diberikan mereka itu benar atau palsu atau taktik terbaharu warga asing untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.
"Pihak Imigresen akan menyiasat dakwaan mereka ini termasuk berhubung dengan pihak kolej terbabit untuk mengetahui status sebenar mereka sebelum mengambil tindakan seterusnya," ujarnya.
0 Komen