25 Mac 2013
Ibu tunggal berkenaan, Rosnah (bukan nama sebenar) berkata, setelah berpisah dengan suami kira-kira 12 tahun lalu, dia mula mencari ikhtiar bekerja di Shah Alam sebagai kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi dan meninggalkan lima anaknya di Kampung Sungai Dua, di sini, bersama ibunya.
Menurutnya, dia terpaksa berkorban berjauhan dengan anak-anak yang sedang membesar apabila mengambil keputusan bekerja di bandar 10 tahun lalu dan memperoleh gaji asas sebanyak RM1,800.
“Mujur ada ibu yang sanggup membantu saya bagi membesarkan anak-anak termasuk soal perbelanjaan persekolahan anak-anak.
"Jika diikutkan ibu memang mendapat bantuan Bulanan Orang Tua (BOT) JKM sebanyak RM300 sebulan melalui keprihatinan wakil rakyat setempat, sementara saya pula tidak layak memohon bantuan persekolahan anak-anak memandangkan gaji saya melebihi syarat gaji yang layak memohon bantuan, " katanya.
Menurutnya, dia hanya mampu bertawakal sahaja, apa yang diharapkan ialah masa depan anak-anaknya yang mahu menyambung pelajaran terutamanya anak ketiga menjadi kenyataan.
Disebabkan terpaksa menanggung hutang bekas suami, Rosnah merujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan bagi membantu menyelesaikan masalahnya di mana sejak tahun 2011, dia harus membayar sebanyak RM190 kepada pihak bank.
Rosnah juga tidak mampu untuk menyelesaikan hutang rumah teres yang sudah dilelong dan mempunyai baki bayaran melebihi RM200,000.
Menurutnya, jika dulu dia ada merujuk masalah hidupnya kepada pihak JKM di Shah Alam, Selangor, namun dinasihatkan untuk mencari bekas suaminya bagi membantu meneruskan hidup.
“Saya dan anak-anak tidak tahu yang mana bekas suami saya berada. Oleh itu, saya yang berusaha mencari pendapatan sendiri dan akhir tahun lepas saya mendapat bantuan zakat bagi menambah pendapatan melalui ternakan kambing.
“Malah, tapak tanah rumah mak yang sudah diduduki sejak 1962 ini juga masih merupakan tanah kerajaan. Mujur, pihak Parlimen Tampin menghulurkan bantuan baik pulih rumah dengan menggantikan zink yang bocor dan papan mereput," katanya.
Sementara itu, anaknya Nurain (bukan nama sebenar) yang masih bersekolah berkata, kesusahan dan pengorbanan ibunya itu menjadi penguat semangatnya untuk lebih berjaya dalam pelajaran.
“Semasa di asrama, saya belajar bersungguh-sungguh dan apabila pulang bercuti di rumah, saya pasti akan membantu keluarga bagi mengurangkan beban. Paling tidak saya akan membantu ibu menjaga kambing.
“Malah, saya juga gembira walaupun kami susah, saya masih mampu mendapat keputusan cemerlang," katanya.
Menurutnya, adiknya juga mengikut jejak langkahnya yang cemerlang dalam akademik dan ibunya menghantar adik bongsunya itu untuk tinggal di asrama.
“Oleh itu, saya harap sangat supaya ada pihak yang sudi membantu kami adik-beradik untuk mendapat peluang menyambung pelajaran dalam bidang yang kami minati, " katanya.
0 Komen