SEREMBAN – Bapa kepada kanak-kanak perempuan yang maut terkena bilah kipas helikopter kawalan jauh pada majlis perasmian Padang Bola Sintetik di Kompleks Belia dan Sukan Paroi kelmarin tidak menyangka keriangan mereka menyaksikan majlis itu berakhir dengan tragedi.
Banee Yamin Idris, 35, yang turut cedera parah di kepala berkata, dia bersama mangsa, Nurdamia Husnina, setahun enam bulan dan dua lagi anak perempuan berusia 6 tahun dan lelaki berusia 11 tahun datang ke kompleks berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah untuk menyaksikan kemeriahan majlis tersebut.
Ketika kejadian, ibu mangsa, Rafeah Zainal Abidin, 35, tidak mengikut mereka dan berada di rumah.
Katanya, ketika kejadian, anak bongsunya itu sedang tidur di bahunya sebelum dia melihat sebuah helikopter kawalan jauh yang digunakan dalam gimik pelancaran majlis itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum meluru ke arahnya.
“Kejadian berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat mengelak kerana helikopter kawalan jauh tersebut meluru ke arah saya dengan laju.
“Tiba-tiba pandangan saya menjadi kabur kerana cermin mata yang saya pakai tercampak ke tanah sebelum darah mengalir laju membasahi muka saya manakala Nurdamia pula tidak bergerak dan kepalanya berlumuran darah,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini semalam.
0 Komen