Fail tuntutan RM165,000
Zhen Fei (duduk, dua, kiri) dan adik-adiknya serta peguam Kesavadas A Nair dan Kee Chin menunjukkan tuntutan mereka kepada pihak terbabit.
SEREMBAN – Isteri dan ahli keluarga mendiang Lee Kuan Yew, 48,  yang maut selepas kemalangan akibat terjatuh di dalam lubang di persiaran Taman Bukit Galena di sini tahun lalu memfailkan tuntutan sebanyak RM165,000 terhadap lima pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap insiden itu.

Lima pihak terbabit ialah Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Pengarah Kejuruteraan MPS, Yang Dipertua MPS, Datuk Abdul Halim Abd Latiff, pemandu lori dan pemilik berdaftar lori.

Tuntutan itu difailkan di Mahkamah Seksyen Seremban melalui firma guaman A K Das & Associates pada 19 Mac lepas.

Isteri mendiang, Tong Kim Sang menuntut jumlah tersebut bagi kesedihan dan dukacita, kehilangan tanggungan dan kos pengebumian berjumlah RM35,000.

Pada sidang media diwakili anak kedua mendiang Lee Zhen Fei, 26, berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi menuntut keadilan terhadap bapanya yang maut  disebabkan masalah jalan berlubang.

“Saya sangat kesal dengan kejadian yang berlaku kerana ibu saya bersama dua lagi adik yang masih belajar hilang punca pendapatan.

“Malah sehingga kini tiada mana-mana pihak pun yang hadir berjumpa dengan kami memohon maaf terhadap insiden yang berlaku,” katanya.

Hadir sama, tiga lagi anak mendiang, Lee Zhen Hao, 20; Lee Zhen Yee, 21, dan Lee Siew Ling, 27.

Sementara itu bekas Adun Bukit Kepayang, Cha Kee Chin yang turut hadir pada sidang media itu berkata, sebelum kejadian pihaknya ada membuat aduan kepada MPS pada 22 Oktober 2012 memaklumkan masalah jalan berlubang di situ.

“Tapi kerja pembaikan jalan hanya dibuat selepas insiden itu dan saya memandang serius kejadian berkenaan.

“Saya berharap MPS tidak memandang remeh masalah ini kerana saya dapati masih terdapat jalan berlubang yang boleh menjadi perangkap maut kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Terdahulu Lee Kuan Yew, 48, maut selepas motosikal ditungganginya terjatuh ke dalam lubang sebelum dirempuh sebuah lori di Persiaran Taman Bukit Galena pada 12 November 2012.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha secara bersendirian dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Mutiara Galla selepas membeli makanan.

“Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar satu lubang sedalam enam sentimeter menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan.

“Kejadian itu mengakibatkan mangsa tercampak di atas jalan dan telah dirempuh oleh sebuah lori tanpa muatan dari arah belakang yang tidak sempat mengelak,” katanya.