JPJ menyamar kesan bas ekspres lebih had laju
Saiful Azzri (topi oren) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas ekspres di Terminal Satu, malam kelmarin.
SEREMBAN – Gara-gara memandu melebihi had laju, dua pemandu bas ekspres dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu operasi di Terminal Satu, di sini, malam kelmarin.

Pengarah JPJ negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, kesalahan itu dikesan oleh anggotanya yang melakukan penyamaran sebagai penumpang bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban dan Melaka ke Seremban.

“Mereka didapati membawa kenderaan melebihi had laju yang telah ditetapkan iaitu 90 kilometer sejam (km/j) dengan kelajuan 110 kmj sehingga 120 km/j.

“Selain itu, mereka juga bertindak bahaya dengan memandu di lorong paling kanan di lebuh raya serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, dua dari tiga bas yang diletakkan anggota JPJ itu didapati menyalahi peraturan ditetapkan dan tindakan mereka amat berbahaya kerana seolah-olah membahayakan diri mereka dan penumpang lain.

“Kedua-dua mereka ini telah pun kita keluarkan saman secara terus apabila mereka sampai sahaja di bandar ini,” katanya.

Saiful Azzri berkata, operasi yang bermula kira-kira 9 malam dan berakhir beberapa jam kemudian itu turut menyaksikan salah seorang pemandu bas sekolah yang diperiksa tidak mempunyai lesen memandu dan pemilik bas berkenaan diarah untuk memandu bas berkenaan untuk membawa penumpang.

Dalam pada itu, Saiful Azzri berkata, JPJ akan terus menjalankan operasi berkala bagi memastikan pengguna kenderaan mematuhi undang-undang dan dalam masa sama, mengurangkan risiko kemalangan menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.