MPS turunkan papan tanda haram
Anggota penguatkuasa sedang menurunkan papan tanda yang tidak mempunyai kelulusan MPS dalam operasi yang dijalankan, semalam.
 
SEREMBAN – Majlis Perbandaran Seremban (MPS) menurunkan 20 papan tanda haram termasuk tiga bunting dalam Operasi Menanggal Papan Tanda Haram di sekitar jalan utama di bandar ini, semalam.

Operasi yang bermula kira-kira jam 9 pagi di Jalan Labu Lama, Jalan Sungai Ujong, Jalan Taman Permai dan Jalan Manickavasagam itu telah dilakukan 25 anggota penguatkuasa MPS, diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Perlesenan dan Pembersihan MPS, Anidah Mohd Nazri.

Anidah berkata, antara papan tanda yang dihapuskan kebanyakannya membabitkan papan tanda tunjuk arah premis yang dipasang tanpa kelulusan MPS.

“Papan tanda tunjuk arah premis yang diturunkan dalam operasi itu adalah seperti iklan kelas tarian, iklan tadika, iklan kedai tayar dan iklan jualan rumah oleh pemaju perumahan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kepada statistik dari Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya telah berjaya menurunkan sebanyak 125 papan tanda haram dalam operasi yang dilakukan.

“Pada bulan lepas sahaja, kita telah berjaya menurunkan 43 papan tanda haram menerusi empat operasi yang dijalankan,” katanya.

Menurutnya, mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Iklan MPS 1980, MPS boleh mengeluarkan kompaun maksimum kepada pesalah sebanyak RM250.