Pekerja butik terpedaya
Bahari menunjukkan laci di mana sampul surat berisi wang disimpan.
PORT DICKSON – Taktik sekumpulan penjenayah yang berpura-pura seperti keluarga bahagia berjaya mengaburi pekerja kedai butik pakaian kanak-kanak di Batu 4, dekat sini apabila mereka berhasil mencuri wang tunai dari kaunter kedai berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, penjenayah berkenaan terdiri daripada sepasang suami isteri berusia lingkungan awal 40-an bersama anak perempuan berusia sekitar 15 dan 3 tahun.

Bapa pemilik butik, Bahari Latib, 57, berkata, dalam kejadian sekitar 8.30 malam kelmarin, anaknya, Issharina Bahari, 31, mengalami kerugian hampir RM2,000 apabila wang tunai berjumlah RM500 dan sebuah Ipad hilang.

Menurutnya, ketika kejadian, butik yang baru sebulan beroperasi itu dijaga oleh seorang pekerja dan dia didatangi penjenayah berkenaan yang pada mulanya mahu membeli skarf rambut berharga sekitar RM5.

"Ketika penjenayah itu hendak keluar, si suami sempat membelek kasut kanak-kanak dan menyatakan mahu membeli kasut itu tetapi hendak dicuba dahulu oleh anaknya yang ketika itu sudah menunggu di dalam kereta bersama isterinya.

"Pekerja kedai kemudiannya pergi ke kereta mereka jenis Kia berwarna hitam yang diparkir di lot bersebelahan kedai dan selepas dicuba, mereka tidak jadi membeli kasut berkenaan," katanya.

Bahari berkata, apabila pekerja kembali semula ke kedai, lelaki berkenaan bersama anak perempuannya bergegas meninggalkan kedai.

"Pekerja hanya menyedari kecurian berlaku sebaik duduk di kaunter dan mendapati Ipadnya hilang sebelum segera memeriksa duit yang disimpan dalam sampul surat di dalam laci.

"Berikutan kejadian itu, pekerja berkenaan menghubungi anak saya bagi memaklumkan insiden yang berlaku sebelum mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson," katanya.

Sinar Harian pada 10 Julai lalu ada melaporkan kejadian hampir sama yang berlaku di sebuah kedai runcit di Gemencheh.

Difahamkan, empat insiden sama yang berlaku di Kuala Pilah, Gemas, Gemencheh dan Taman Indah, Tampin sepanjang tahun lalu juga pernah dilaporkan oleh akhbar ini.