SEREMBAN - Lupa meletakkan tanda harga dan tanda harga khas, antara alasan sering diberikan peniaga kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri ketika pemeriksaan di premis perniagaan bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan pada Tahun Baharu Cina lalu dan perayaan lain.
Ketua Penguat kuasa KPDNKK negeri, Saiful Bahri Abdul Kadir berkata, alasan tersebut menunjukkan peniaga bersikap seperti tidak endah terhadap tindakan kompaun yang dikenakan.
“Setiap kali musim perayaan seperti sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas, kita mendapati alasan sama sering diberikan dan kebanyakan mereka adalah peniaga yang sama.
“Mereka ingin mengaut keuntungan berlebihan dan tidak risau akan tindakan kompaun kerana mampu bayar," katanya sidang media Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2016 di Pejabat KPDNKK negeri, di Seremban 2, di sini.
Menurutnya, setiap kali tiba musim perayaan, KPDNKK negeri akan memberi advokasi iaitu senarai barangan harga kawalan dan arahan yang perlu dipatuhi peniaga.
“Sejak pemeriksaan sempena Tahun Baharu Cina yang dimulakan pada 3 hingga 14 Februari lalu, sebanyak 1,395 premis perniagaan diperiksa dan 27 kes direkodkan dengan jumlah kompaun bernilai RM3,100.
“Pada tahun lalu, kita memeriksa sebanyak 3,346 premis dan sembilan kes dicatatkan dengan jumlah kompaun bernilai RM1,200,” katanya.
0 Komen