PORT DICKSON - Mayat lelaki yang ditemui terapung di Sungai Bukit Palong sekitar jam 10.15 pagi kelmarin, dikenal pasti meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha berkata, berdasarkan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Port Dickson, punca kematian lelaki tanpa identiti itu disebabkan Ischaemic Heart Disease atau penyakit jantung.Menurutnya, berdasarkan laporan bedah siasat itu, polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
“Hasil bedah siasat walau bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti sama ada mayat berkenaan rakyat tempatan atau sebaliknya memandangkan bahagian bahu mayat berkenaan telah rosak dan kesan suntikan vaksin B.C.G tidak dapat dikesan begitu juga dengan anggaran usia dan bangsa.
“Sehingga semalam, belum ada yang tampil menuntut mayat dan polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga lelaki dewasa dalam tempoh seminggu ini datang berurusan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi sesi pengecaman dan urusan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Baharudin berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui di Sungai Bukit Palong berhampiran Jeti Pengkalan Nelayan Bukit Palong dalam keadaan lengkap berpakaian baju t-shirt hitam, berseluar jeans biru, berkasut getah dan tangan kirinya memakai sarung tangan getah warna hitam.
Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui seorang lelaki yang sedang memandu kereta melalui jambatan Sungai Bukit Palong yang jaraknya beberapa meter dari jambatan berkenaan.
0 Komen