Aktiviti Nogori

untuk makluman sebarang aktiviti di Negeri Sembilan hantarkan maklumat anda ke bukuone@gmail.com

featured-content2

featured-content2

http://beritan9.blogspot.com/2011/12/agihan-zakat-asnaf-mualaf-ditambah.html

featured-content2

featured-content2



Apa itu 'masuk suku'?

Dikirim oleh Warieh Ahad, 20 Jun 2010


Anak perempuan dalam masyarakat Adat Perpatih adalah aset kerana perempuan sahaja yang mewarisi nama suku dan harta pusaka, sama ada material dan bukan material.


SEREMBAN 18 Jun - Ramai pihak yang tersenyum sinis apabila mendengar perkataan 'masuk suku' kerana bagi mereka masuk suku bermaksud 'masuk tidak sepenuhnya' atau hanya ¼ sahaja yang masuk.

Dalam masyarakat Adat Perpatih Negeri Sembilan ini, perkataan 'masuk suku' itu membawa pengertian yang berbeza daripada masyarakat umum, khususnya yang tidak mengamalkannya.

Ini kerana bagi pengamal Adat Perpatih kata 'masuk' dalam perkataan ini tidak bererti 'pergi ke dalam', manakala 'suku' pula tidak membawa maksud ukuran 'satu daripada empat bahagian' atau ¼.

Sebaliknya kata 'masuk' dalam Adat Perpatih bermaksud 'menjadi ahli' atau 'anggota', sementara 'suku' pula panggilan bagi kelompok kekeluargaan yang terbesar dalam kalangan masyarakat adat.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku utama iaitu Biduanda, Batu Hampar, Seri Melenggang, Tanah Datar, Seri Lemak, Mungkal, Tiga Nenek, Paya Kumbuh, Anak Melaka, Anak Acheh, Batu Belang dan Batu Tiga.

Selain 12 suku ini terdapat beberapa kelompok suku kecil lain.

Setiap anggota masyarakat Adat Perpatih ialah ahli keluarga atau anggota kepada salah satu daripada suku-suku tersebut.

Keanggotaan seseorang ahli masyarakat Adat Perpatih mengikut suku ibu iaitu jika ibunya angota suku Biduanda maka anak-anaknya akan bersuku Biduanda.

Orang bukan Adat Perpatih boleh jadi ahli masyarakat adat dengan syarat dia menjadi 'anak angkat' kepada salah satu daripada 12 suku tersebut.

Perbuatan menjadi anak angkat ini yang dikatakan oleh umum sebagai 'masuk suku'.

Justeru, perbuatan masuk suku ini adalah satu institusi menjadi anak angkat kepada salah satu suku dalam masyarakat Adat Perpatih.

Istilah adat bagi perbuatan 'masuk suku' ini adalah 'berkodin'.

Berkodin bermaksud bersaudara dan bersaudara bermakna menjalin ikatan kekeluargaan.

Ikatan kekeluargaan yang terjalin bukan terhad dengan keluarga yang menerima seseorang itu sebagai anak angkat tetapi seluruh kelompok kekeluargaan iaitu semua anggota suku keluarga angkatnya.

Ada dua sebab dan dua cara orang masuk suku atau berkodin.

Pertamanya, orang luar khususnya lelaki yang hendak berkahwin dengan orang Adat Perpatih. suku yang dimasukinya itu harus tidak sama dengan suku bakal isteri.

Contohnya, jika bakal isterinya anggota suku Tanah Datar, maka dia harus mengganggotai salah satu daripada 11 suku lain.

Tujuan masuk suku dalam kes seperti ini ialah suku angkat individu tersebut akan bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku sebarang masalah semasa mereka menjadi menantu kepada suku isterinya.

Pendek kata, dalam kodin disebabkan ini, individu berkenaan hanya menumpang bersaudara dalam suku yang menerima dan mengkodinkannya.

Berkodin atas sebab ini diistilahkan sebagai 'kodin adat' atau 'kodin pinang sebatang' atau dikatakan juga sebagai 'kodin selayar atap atau sebilah lantai'. Aturan dan adat istiadat untuk kodin jenis ini sederhana sahaja.

Kodin yang kedua adalah mengambil anak angkat perempuan, selalunya yang masih bayi.

Anak perempuan dalam masyarakat Adat Perpatih ialah aset kerana perempuan sahaja yang mewarisi nama suku dan harta pusaka, sama ada material dan bukan material.

Jika sesebuah keluarga tidak mempunyai anak perempuan keluarga berkenaan dianggap sebagai 'pupus'.

Justeru, bagi mengelakkan keadaan 'pupus' ini, keluarga berkenaan akan mengambil anak angkat sama ada daripada kalangan orang Melayu atau keturunan asing, selalunya berketurunan Cina. Tegasnya, keahlian dalam kodin jenis ini merupakan keahlian penuh.

Kodin atas sebab ini dikatakan sebagai 'kodin adat dan pusaka' atau 'kodin aur serumpun'.

Aturan dan adat istiadat untuk kodin jenis ini adalah kompleks dan melibatkan semua ketua adat dalam suku dan Undang atau Penghulu Luak kerana akan melibatkan perwarisan harta pusaka adat suku.

NORZALI IBRAHIM merupakan Penasihat Adat Yang Teramat Mulia Tunku Besar Tampin

0 Komen

Catat Ulasan

Kalau raso nak komen boleh yor...mano la tau kot-kot ado yang ngomen eh tue ado pakedah eh pado warieh yang lain.. bilo dah ngomel tue tanggungjawab sendiri la yor..

Carian

Lagu Kebesaran Negeri Sembilan

    Temui kami di facebook

    Liga Perdana (Hobin Jang Hobin)

    Standings provided by whatsthescore.com