SEREMBAN 18 Jun - Kira-kira 100 kanak-kanak kurang bernasib baik dari rumah kebajikan di sekitar negeri ini dibawa menonton filem Karate Kid bersempena dengan musim cuti sekolah baru-baru ini.
Aktiviti anjuran Yayasan Aeon Malaysia itu berlangsung di pawagam TGV Aeon Seremban 2 di sini.
Selain menonton wayang, kanak-kanak terbabit dari Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Shemariah, Taman Sinar Harapan Tuanku Najihah dan Anak Yatim & Miskin Yayasan Murad turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti permainan di Smart Wonder World.
Menurut Presiden Yayasan Aeon Malaysia, Nagahisa Oyama, memberi keceriaan kepada kanak-kanak kurang bernasib baik adalah salah satu daripada misi mereka.
"Apabila mendekatkan mereka dengan pelbagai aktiviti seperti ini, kita berharap untuk mencipta hari yang lebih menceriakan untuk mereka seperti kanak-kanak lain. Ini adalah tanggung jawab sosial kami," katanya.
Dalam pada itu, menurut penghuni Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Firdaus Norizam, 10, dia gembira kerana berpeluang menonton wayang di musim cuti sekolah.
"Dapat berjalan-jalan di samping mengenali ramai kawan-kawan yang lain di sini sangat menyeronokkan," ujarnya.
Bagi P. Josha, 14, dari Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Shemariah, dia amat terhibur apabila berpeluang menonton filem yang sangat menarik itu.
"Saya berharap akan dapat lagi peluang seperti ini pada masa depan. Di sini saya juga dapat berjumpa dengan ramai kawan-kawan baru," ujarnya.
0 Komen