2010/05/27
PUTRAJAYA: Polis sudah menghantar anggotanya bagi memantau kubur pengasas Al-Arqam, Allahyarham Asaari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya di Kampung Pilin, Rembau, Negeri Sembilan yang dipercayai dijadikan tempat amalan khurafat termasuk pemujaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tindakan itu diambil selepas jabatan agama Islam negeri meminta kerjasama polis untuk berbuat demikian bagi membantu menangani gejala tidak sihat berkenaan.
“Kita tidak mempunyai kuasa untuk berkawal di kawasan itu, tetapi selepas jabatan agama meminta bantuan kami bekerjasama rapat dengan mereka untuk menanganinya.
“Perkara ini juga dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tadi (semalam) dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memaklumkan polis sudah menghantar anggotanya untuk memantau kawasan kubur berkenaan,” katanya selepas mesyuarat pasca Kabinet di kementeriannya, semalam.
Ditanya mengenai cadangan mengharamkan buku Tsunami: Bukti Abuya Putra Bani Tamim hasil tulisan isteri keduanya, Hatijah Aam, Hishammuddin berkata: “Perkara itu tidak merisaukan saya, tetapi saya lebih risau mengenai mereka yang berkampung di kubur Abuya. Kita sedar mengenai penerbitan buku itu dan kami sentiasa memantaunya.”


0 Komen