| |
| Peserta bertungkus-lumus mencari jawapan di Muzium Tentera Darat, Port Dickson pada penjelajahan mencari harta karun yang bertemakan Jejak Warisan. |
SEREMBAN 3 Jun – Program mencari Harta Karun Jejak Warisan yang berlangsung Sabtu lalu berjaya mencapai matlamat untuk mempromosi Negeri Sembilan sebagai destinasi warisan dan pelancongan sejarah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mat Ali Hassan berkata, ini dibuktikan dengan penyertaan lebih 35 buah kenderaan, dengan 70 peratus pesertanya merupakan mereka yang datang dari luar negeri ini.
‘‘Saya gembira dengan penyertaan mereka dan sekurang-kurangnya peserta dapat mengetahui pelbagai destinasi bersejarah melalui soalan Jejak Warisan yang terdapat sepanjang program mencari harta karun ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Dalam program itu, seramai 150 peserta yang terdiri daripada pelbagai profesion pekerjaan serta pihak media terlibat dalam Jejak Warisan ini dan diwajibkan menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan penganjurnya, Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS).
Mat Ali yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah LMNS berkata, antara destinasi yang dijelajahi peserta termasuklah Muzium Negeri, Kompleks Kraftangan di sini, Muzium Tentera Darat di Port Dickson dan Muzium Raja Melewar di Rembau.
Selain itu katanya, peserta juga diminta menjelajah di Teratak Za’aba, Jempol dan berakhir di Istana Lama Muzium Diraja Seri Menanti, Kuala Pilah.
‘‘Acara ini telah mendapat sambutan yang baik dan kita percaya aktiviti ini dapat menarik lebih ramai penyertaan pada masa hadapan.
‘‘Untuk itu kita akan pertimbangkan supaya program Jejak Warisan ini dibuat sehingga membolehkan perserta bermalam agar hubungan akrab dapat terjalin dan mereka lebih mengetahui perihal Adat Perpatih di negeri ini,” ujarnya.
Akhbar Utusan Malaysia merupakan rakan media bagi program mencari harta karun Jejak Warisan ini, selain bertindak mempromosikan perihal Adat Perpatih dan warisan negeri melalui ruangan yang tersiar setiap hari Sabtu, dua minggu sekali.


0 Komen