TELOK KEMANG 22 Ogos - Lebih 30 artis membanjiri Port Dickson bagi mengagihkan bubur lambuk serta meraikan anak-anak yatim serta warga emas semalam.
Acara tradisi sempena bulan Ramadan itu adalah anjuran Permaisuri Resort Port Dickson yang terletak di Batu 10, Jalan Pantai.
Pengurus Besar resort itu, Aswandy Hassan berkata, anak-anak yatim itu dibawa dari Yayasan Anak-anak Yatim Piatu Daerah Port Dickson, manakala warga emas dari Rumah Seri Kenangan Seremban.
Beliau berkata, program itu merupakan satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat setempat yang mana Permaisuri Resort turut menjemput artis dan selebriti tanah air menjayakan acara amal berkenaan.
"Kerjasama sebegini akan diteruskan atas tujuan yang murni terhadap masyarakat terutama dalam meraikan anak-anak yatim dan warga emas," katanya.
Sementara itu, penyanyi Shila Amzah berkata, ini adalah kali pertama dia menjayakan program itu dan mengucapkan terima kasih kepada Permaisuri Resort kerana menjemputnya.
Azlee Jaafar dari kumpulan Senario pula menyifatkan Permaisuri Resort amat prihatin kerana meraikan anak-anak yatim setiap kali bulan Ramadan.
Menurut Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet pula, ia merupakan kali keempat program pemberian bubur lambuk disertainya anjuran resort berkenaan.
"Setiap kali program ini diadakan, saya pasti datang memberi sokongan kerana ia merupakan aktiviti kebajikan yang menyeronokkan," katanya.
Pada majlis tersebut, anak yatim dan warga emas menerima sumbangan hamper, duit raya dan pakaian Melayu daripada para penaja program berkenaan.


0 Komen