Yati Rahayu Sally Abdullah lebih berdebar untuk menanti-nanti saat dia diberikan permit masuk oleh Jabatan Imigresen selepas bertahun-tahun hidup berstatuskan warga asing di negara sendiri. Permohonan permit masuk dibuat secara sah di Pejabat Imigresen Negeri Sembilan bertarikh 11 Ogos lalu dengan bantuan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Port Dickson dan dalam tempoh sebulan jawapan akan diterima.
Yati berkata, dia amat berharap pada bulan mulia dan Syawal nanti, dia akan mendapat kelulusan permit masuk yang dipohonnya.
Bercerita bagaimana dirinya boleh berada dalam kesempitan hidup ini, Yati berkata, dia didapati memiliki MyKad palsu selepas cuba memperbaharuinya pada pertengahan 2005.
Menurutnya, dia sendiri tidak tahu ia palsu kerana MyKad itu dibuat oleh paderi terbabit semasa di Sabah lagi.
“Saya kemudian dihantar ke Pusat Tahanan Pendatang Tanpa Izin di Pekan Nenas Johor dan ditahan di sana selama enam bulan walaupun sudah berkali-kali saya menunjukkan dokumen memeluk agama Islam bagi membuktikan saya warganegara Malaysia.
“Di pusat tahanan itu, mereka gagal menghantar saya ke negara lain kerana tiada negara yang mengesahkan saya warganegara mereka dan selepas beberapa kali membuat rayuan sambil dibantu keluarga angkat akhirnya saya dibebaskan dengan diberikan pas pelawat sosial jangka panjang yang perlu diperbaharui setiap enam bulan sekali,” katanya.
Yati berkata, dia masih muda dan kuat untuk bekerja, namun status kewarganegaraannya yang diragui menyukarkan majikan menggajinya dan mereka tidak mahu menanggung sebarang risiko jika berlaku sesuatu ke atasnya.
“Itu yang saya risaukan sedangkan saya mempunyai dua anak yang masih kecil, jika berlaku sesuatu kepada saya siapa yang akan menjaga mereka kelak kerana saya tidak mempunyai saudara mara di sini.
“Saya pernah meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, namun disebabkan saya tidak diiktiraf sebagai rakyat Malaysia, saya tidak layak menerima bantuan tersebut.
"Bagaimanapun saya kini menerima bantuan RM100 setiap bulan daripada Baitulmal,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya.
Dia berkata, sejak dari lahir dia tidak pernah mengenal kedua ibu bapanya dan dibesarkan oleh seorang paderi berikutan saya ditinggalkan di sebuah gereja kecil di Keni�ngau, Sabah.
“Ketika berusia 13 tahun, saya dibawa ke Selangor kerana mengikut paderi itu menyampaikan ajarannya di sana. Pada masa sama, paderi menyerahkan MyKad saya yang katanya dibuat di Keningau sejurus berusia 12 tahun.
“Saya bagaimanapun melarikan diri daripada jagaan paderi itu kerana tidak tahan dengan kehidupan yang dilaluinya dan terus ke Sungai Besar, Selangor,” katanya.
Menurutnya, selepas itu, dia bekerja di sebuah restoran Cina, namun sekali lagi melarikan diri kerana sepanjang lima tahun bekerja, dia tidak dibayar gaji.
“Saya kemudian bekerja di sebuah kilang di sana dan sering bermimpi mengenai aja�-ran agama Islam hingga akhirnya saya mengucap dua kalimah syahadah pada Mei 1999,” katanya.
Yati berkata, ketika belajar di Perkim cawangan Selangor, dia berkenalan dengan keluarga bekas suaminya yang kemudian menjadikannya sebagai anak angkat serta ikut berpindah ke Gemencheh.
“Hasil perbincangan dengan keluarga angkatnya, saya bersetuju untuk berkahwin dengan anak mereka bagi memudahkan memperoleh taraf penduduk tetap,” katanya.
Pada Mac 2006, Yati berkahwin dan berpindah ke Port Dickson.
Sepanjang perkahwinan itu, Yati dikurniakan dua anak, Muhamad Aiman Daniel,4, dan Nuraryana Natasya yang kini berusia satu setengah tahun.
Namun belum sempat memperoleh taraf penduduk tetap, Yati bercerai dengan suaminya beberapa tahun kemudian.
Selepas bercerai, Yati dan dua anaknya dibenarkan menetap di rumah bekas suaminya di Taman PD Utama dan nafkah diberikan antara RM100 hingga RM200 sebulan mengikut kemampuannya.
Katanya, kedua-dua anaknya memiliki sijil kelahiran yang sah dan MyKid, namun ada kemungkinan mereka tidak dapat ke sekolah kerana tidak mempunyai sebarang pengenalan diri kecuali pas lawatan sosial itu untuk mendaftarkan persekolahan.
“Oleh itu, diharap pihak berkenaan akan meluluskan permohonan permit masuk saya. Sekali gus memudahkan proses untuk mendapatkan Mykad,” katanya.


0 Komen