SEREMBAN 22 Ogos - Dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian menikam seorang lelaki sebanyak lapan belas kali sebelum membuang mangsa di dalam hutan berhampiran Jalan Bukit Putus-Kuala Pilah dekat sini sedang diburu polis.
Jurucakap polis memberitahu, setakat ini identiti kedua-dua lelaki itu sudah dikenal pasti dan pihaknya sedang giat memburu mereka.
"Berdasarkan siasatan pihak polis, kita mendapati kedua-dua suspek bekerja bersama mangsa di Ladang Gaddes, Jempol dekat sini.
"Kejadian pada petang Khamis lalu itu dipercayai berlaku akibat salah faham berkaitan kerja antara kedua-dua suspek dengan mangsa," katanya di sini, hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang lelaki, Arman Shah, 29, masih bernyawa walaupun ditikam sebanyak lapan kali di badannya sebelum dicampak di dalam hutan.
Lebih mengejutkan, lelaki terbabit yang tersedar dari pengsan pada pagi Jumaat lalu itu masih berupaya berjalan sejauh beberapa kilometer sebelum diselamatkan oleh orang ramai di Jalan Seremban-Kuala Pilah semalam.
Difahamkan, penyerang lelaki itu kemungkinan beranggapan mangsa sudah meninggal dunia dan bertindak membuang 'mayatnya' di dalam hutan berkenaan untuk melupuskan bukti.
Lelaki itu yang ditikam empat kali di bahagian depan dan belakang badan dipercayai masih hidup kerana tikaman berkenaan tidak mengenai organ penting mangsa.
Jurucakap polis berkata, berdasarkan keterangan mangsa, dia mendakwa diserang oleh kedua-dua lelaki terbabit di ladang sebelum dia dibuang di dalam hutan berhampiran Jalan Bukit Putus, Kuala Pilah.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk menemubual Arman tidak berjaya kerana dia masih lemah selepas menjalani pembedahan untuk menjahit luka tikaman pada badannya kelmarin.


0 Komen