SEREMBAN 20 Nov. - Seramai 63 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) di sekitar Nilai, dekat sini semalam.
Dalam operasi Jabatan Imigresen di Taman Semarak Nilai dekat sini bermula 8.30 malam itu, kira-kira 1,000 warga asing terdiri warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Indonesia diperiksa.
Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, operasi khas itu turut disertai oleh Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negera (JPN).
"Dalam operasi yang kita lancarkan ini kita membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah di Taman Semarak yang majoritinya dihuni oleh warga asing dan kawasan sekitarnya.
"Daripada pemeriksaan itu, kita menahan seramai 63 warga asing kerana pelbagai kesalahan Imigresen seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih tempoh," katanya di sini, malam tadi.
Faizal Fazri juga memberitahu, daripada jumlah itu, seramai 37 PATI yang ditahan adalah warga Bangladesh, Myanmar (lapan), Nepal (15) dan Indonesia (tiga) termasuk seorang bayi lelaki berusia lima bulan.
"Semua mereka yang ditahan itu kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih tempoh selain gagal mendaftarkan diri dalam program pemutihan 6P.
"Ketika ditahan mereka menggunakan pelbagai alasan seperti tidak mempunyai wang dan tidak mengetahui mengenai program pemutihan berkenaan," ujarnya.
Menurutnya, semua PATI yang ditahan itu akan dihantar ke Depot Tahanan Lenggeng dekat sini sebelum didakwa atau diusir pulang ke negara asal.


0 Komen