SEREMBAN 25 Nov. - Kadar indeks jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 7.36 peratus sepanjang tempoh Januari sehingga 20 November lalu berbanding tempoh sama, tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, berdasarkan rekod, sebanyak 5,939 kes jenayah dicatatkan dalam tempoh tersebut bagi tahun ini berbanding 6,411 kes pada tahun lalu.
"Statistik menunjukkan peratusan penurunan itu mewakili sebanyak 472 kes sepanjang tempoh tersebut.
"Kadar jenayah jalanan di seluruh negeri ini dalam tempoh itu turut mencatatkan penurunan sebanyak 5.95 peratus membabitkan 25 kes berbanding tahun lalu," katanya di sini hari ini.
Menurut Osman, dalam tempoh yang sama, polis telah menahan seramai 418 pengedar dadah di sekitar negeri ini.
"Sementara itu, kes pemilikan dadah pula melibatkan 861 orang yang ditahan, manakala bagi kesalahan mengguna dadah pula membabitkan tangkapan seramai 1,890 orang.
"Kita juga telah berjaya membuat rampasan sebanyak 34,184 gram pelbagai jenis dadah dalam tempoh 11 bulan ini," katanya.


0 Komen