SEREMBAN 22 Nov. - Kerajaan negeri hari ini menafikan tuduhan bahawa ia tidak berbuat apa-apa bagi menangani masalah perkhidmatan bas sehingga pengendalinya, Cityliner menamatkan operasi serta-merta minggu lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan pengurusan Cityliner sebelum ini tetapi gagal mencapai penyelesaian.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa dalam hal itu memandangkan sektor pengangkutan awam terletak di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Tuduhan bahawa kerajaan negeri tidak berbuat apa-apa adalah tidak benar sama sekali," katanya ketika bangkit mencelah perbahasan oleh Loke Siew Fook (DAP-Lobak) yang sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Sembilan 2012 pada sidang Dewan Undangan Negeri sini hari ini.
Siew Fook mendakwa beliau pernah membangkitkan isu perkhidmatan bas itu dalam beberapa persidangan DUN sebelum ini tetapi katanya, tiada tindakan diambil oleh kerajaan negeri.
Kemelut pengangkutan bas awam itu selesai semalam apabila kerajaan negeri dan Konsortium Transnasional Bhd (KTB) selaku pemilik Cityliner memulakan operasinya hari ini.
Ia hasil memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani kedua-dua pihak di sini semalam.


0 Komen