SEREMBAN 19 Nov. - Penumpang bas di negeri ini yang terjejas akibat tindakan syarikat bas henti-henti, Cityliner menamatkan semua operasinya secara serta-merta sejak Rabu lalu, boleh menarik nafas lega selepas Isnin ini.
Ini kerana kemelut itu dijangka selesai dengan campur tangan kerajaan negeri yang bertindak mengambil alih perkhidmatan bas itu daripada konsortium berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan negeri tidak boleh menunggu lebih lama lagi kerana ia menjejaskan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
"Kerajaan negeri kini sudah menemui formula terbaik bagi menyelesaikan isu itu daripada terus menyusahkan pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan bas sebagai sistem pengangkutan utama.
"Saya telah berunding dengan beberapa pihak dan kita dapat satu formula 'menang-menang' untuk kerajaan, industri perkhidmatan bas dan pengguna," katanya selepas merasmikan Ekspo Perumahan dan Hartanah Negeri Sembilan (Mapex 2011) anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini semalam.
Rabu lalu, Cityliner yang menjalankan perkhidmatan bas henti-henti di 10 laluan di negeri ini menamatkan perkhidmatan mereka dengan alasan tidak sanggup lagi menampung kerugian.
Antara perkhidmatan yang ditamatkan adalah Seremban ke Nilai-KLIA, Port Dickson-Telok Kemang, Tampin, Rantau, Senawang, Linggi, Sikamat, Rasah Jaya dan Kajang.
Katanya, satu memorandum persefahaman (MOU) akan ditandatangani dengan konsortium syarikat bas tersebut pada Isnin ini dan perkhidmatan bas dijangka dimulakan serta-merta selepas itu.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai formula itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengambil alih perniagaan bas tersebut dan kemudiannya menyerahkan kontrak untuk mengendalikan operasi harian bas kepada pengusaha.


0 Komen