JAKARTA 20 Nov. - Hobi menyaksikan rakaman atlet wushu berlatih di laman web sosial `You Tube” memberi ilham kepada Kevan Cheah Peng Heng untuk beraksi cemerlang dan meraih emas daripada acara Wushu Nan Dao dan Nan Gun Lelaki pada Sukan SEA di Indonesia.
Kevan, 23, dari Pulau Pinang yang beraksi dalam Sukan SEA pertamanya, memperolehi 9.71 mata dari acara Nan Dao dan 9.71 mata dari acara Nan Gun untuk mengumpul keseluruhan 19.41 mata.
Rakan sepasukan, Koo Chee Zhong meraih perak, mengutip 9.70 mata dari Nan Dao dan 9.69 mata dari Nan Gun untuk keseluruhan 19.39 mata.
Gangsa dimiliki Wai Phyo Aung dari Myanmar dengan keseluruhan 18.37 mata.
"Saya gembira dapat menyumbang emas kepada kontinjen walaupun tidak disasarkan emas pada mulanya kerana saya dari skuad pelapis wushu kebangsaan,” kata Kevan kepada pemberita, di sini hari ini.
Emas kedua daripada wushu disumbangkan oleh Tai Cheau Xuen dari acara Nan Dao dan Nan Gun wanita.
Cheau Xuen mengutip 9.70 mata dari Nan Dao dan 9.65 mata dari Nan Gun untuk mengumpul keseluruhan 19.35 mata.
Pemenang pingat gangsa dari acara yang sama pada Sukan Asia di Guangzhou, tahun lepas itu sekali lagi mengenepikan seniornya, Diana Bong pada acara hari ini.
Diana sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip keseluruhan 18.97 mata, di belakang pemenang pingat perak, Dessy Indri Astuti dari Indonesia dengan keseluruhan 19.05 mata.
Pada Sukan Asia di Guangzhou, Diana turut ketinggalan, berada di tangga ke lima berbanding Tai yang mendapat gangsa.
Cheau Xuen, 20 dari Seremban berkata, walaupun menewaskan senior, Diana banyak membantunya untuk menguasai acara tersebut.
Malaysia turut memperolehi satu lagi gangsa dari Ong Shi Chuan menerusi acara Daoshu dan Gunshu lelaki dengan mengutip mata keseluruhan 19.40. - Bernama


0 Komen