KECEWA dengan sikap sambil lewa dan tindakan tidak bijak pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang hanya menghantar pemain pelapis muda dalam merebut pingat emas di Sukan SEA kali ini.
BAM silap langkah kerana Sukan SEA bukanlah gelanggang untuk membuat ujian sebenarnya. Banyak cara lain boleh kita buatkan ujian.
Sukan SEA bukanlah tempat untuk mengujikan bakat kerana misi ke sana adalah untuk mendapatkan sebanyak pingat yang mungkin bagi meninggikan lagi kedudukan kita terutama sekali dalam sukan badminton dan ia juga adalah maruah negara.
Sekarang siapakah yang rugi apabila satu pingat pun tidak diperolehi dengan satu persatu pemain kita tumbang, malahan mendapat ejekan penonton tuan rumah.
Sepatutnya Datuk Lee Chong Wei dan juga pasukan beregu utama negara tidak menyertai Terbuka Hong Kong yang diadakan pada masa sama dengan perlawanan badminton di Sukan SEA.
Tumpuan seharusnya untuk menambahkan pingat kepada negara di Sukan SEA kerana semangat patriotik sepatutnya mengatasi segala-galanya.
Kalau pemain utama negara tidak dapat bermain di Sukan SEA, kenapa tidak dihantar pemain berpengalaman dan berpotensi untuk meraih sekurang-kurangnya dua pingat seperti Wong Choong Hann atau Hafiz Hashim. Macam ada yang tidak kena dengan BAM ini.


0 Komen