SEREMBAN 15 Dis. - Keghairahan enam lelaki yang melanggan pelacur di sebuah hotel di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini terbantut apabila mereka ditahan dalam serbuan polis di sini petang semalam.
Kehadiran sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri secara mengejut itu menyebabkan mereka cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam serbuan pukul 3.15 petang itu, enam wanita tempatan berusia antara 30 hingga 49 tahun turut ditahan.
"Serbuan dibuat hasil maklumat dan risikan polis. Ketika diserbu, terdapat pelanggan cuba melarikan diri. Bagaimanapun, kita berjaya menahan semua lelaki berusia antara 28 hingga 48 tahun yang berada bersama pelacur berkenaan," katanya.
Kata Hamdan, seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga pusat pelacuran itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk disoal siasat sebelum dikenakan tindakan susulan.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 372 dan 373 Kanun Keseksaan.
0 Komen