SEREMBAN 5 Nov. – Seorang anggota polis diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan melepaskan tembakan sehingga mencederakan seorang remaja pada Mei tahun lepas.
Majistret Nor Azlina Hashim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Konstabel Mohd Hakimi Shamsul, 20.
"Selepas meneliti keterangan dari pembelaan dan pendakwaan, mahkamah mendapati tembakan yang dilepaskan kepada mangsa adalah tidak sah, (sedangkan) tertuduh boleh menggunakan pelbagai cara untuk menghentikan mangsa selain tembakan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 dan 13 Januari tahun depan untuk tertuduh membela diri.
Mohd Hakimi dituduh melepaskan tembakan terhadap Mohd Azizi Azri Aziz, 19, tanpa apa-apa alasan yang sah dan mengakibatkan remaja itu mengalami kecederaan, di Jalan Jelebu menghala ke Pantai dekat sini pada 3 petang 8 Mei tahun lepas. – Bernama


0 Komen