Tarikh : December 12, 2011
JEMPOL- Pas Jempol yakin dapat menawan Dun Serting berikutan peneroka Felda hari ini sudah mula sedar bahawa parti itu mampu membawa perubahan besar kepada mereka.
Yang Dipertua Pas Jempol, Abd Rahman Ramli berkata, tidak mustahil Pas akan mencapai kemenangan pada pilihan raya akan datang.
“Ada banyak isu berbangkit membabitkan peneroka, antaranya isu kadar perahan minyak sawit, penebangan pokok getah dan juga saman peneroka terhadap Felda.
“Peneroka sekarang tidak boleh digula-gulakan lagi. Mereka sudah bijak berfikir, malah tambah meyakinkan apabila kita menang saman.
“Kita memang sasar semua kawasan termasuklah Parlimen Jempol. Kita juga sudah ada calon yang disenarai pendekkan cuma belum diumumkan secara rasmi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, Pas meletakkan calon dalam kalangan muka baru, muda dan juga orang lama.
“Bukan menjadi masalah untuk menang apabila kerajaan BN memberikan bantuan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah kepada rakyat secara 'one off' berjumlah RM500.
“Namun, kita juga telah mengatur beberapa strategi untuk menghadapi pilihan raya umum kali ini dan kita juga yakin dapat pecahkan beberapa kubu Umno yang lain,” katanya.


0 Komen