TELOK KEMANG 11 Dis. - Masalah jeti yang uzur di Kampung Bakar Arang dan Sungai Bawah di kawasan Chuah dekat sini mendapat perhatian apabila kerajaan negeri mengumumkan bantuan sebanyak RM300,000 bagi membaikpulih infrastruktur berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peruntukan yang disalurkan akan melegakan ratusan nelayan yang menggunakan jeti berkenaan sebagai pusat pengumpulan dan penangkapan ikan.
‘‘Peruntukan segera ini disalurkan selepas saya sendiri melawat kawasan ini dan saya lihat ia sudah uzur dan perlu dibangunkan semula bagi memberikan keselesaan kepada para nelayan menjalankan aktiviti seharian mereka,” katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah di sini kelmarin.
Kata beliau, peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan itu meliputi membina bangsal, tempat simpan pukat dan membaiki jeti usang.
Dalam pada itu, Mohamad selepas mengadakan lawatan ke Kampung Jangging dekat sini turut mengumumkan pembinaan jalan pintas ke kampung itu ke kampung-kampung lain.


0 Komen