Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kesemua elemen itu sudah ada di sekolah aliran kebangsaan dan agama di negara ini dan ia hendaklah menjadi amalan dalam kehidupan rakyat.
''Pelajarilah ilmu yang lain tetapi agama jangan ditinggalkan. Seolah-olah pelajaran agama itu tidak penting sehingga penghayatan al-Quran diabaikan, tulisan jawi pula dipinggirkan.
''Dalam diri kita mesti ada kekuatan agama dan selepas itu kita tambah pula dengan pengisian bidang akademik lain seperti sains dan teknologi. Barulah ia dapat jalan seiring dan menjadi kekuatan di dalam diri," katanya.
Abdullah berucap pada majlis berbuka puasa bersama lebih 1,000 pelajar dan warga Yayasan Sofa di Kompleks Pendidikan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS), Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, di sini malam tadi.
Hadir sama, Penasihat Yayasan Sofa, Datuk Mohd. Shukor Shahabudin yang juga Ketua Hakim Syarie negeri; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Dr. Awaludin Said dan Yang Dipertua Yayasan Sofa, Abdullah Abdol Razak.
Abdullah berkata, ilmu pengetahuan penting dan penguasaan dalam pelbagai bidang juga dituntut supaya menjadikan umat Islam, khususnya orang Melayu lebih terserlah.
''Kita mahu bukan sahaja 'alim' dalam bidang lain seperti doktor dan profesional, tetapi alim juga dalam agama. Maka, orang Melayu ada banyak kelebihan.
''Saya amat berharap anak-anak yang belajar di sekolah kebangsaan mahupun aliran agama hendaklah khatam al-Quran sebelum usia mencecah 13 tahun," katanya.
Terdahulu Abdullah diberi taklimat mengenai pengurusan Yayasan Sofa yang mengendalikan rangkaian pendidikan dari sekolah rendah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi, selain berperanan sebagai Pusat Bahasa Arab Universiti Al Azhar Malaysia.
0 Komen