JELEBU 23 Jan. - Kem D'Agroloka memiliki keunikan tersendiri dengan menawarkan konsep pelancongan dua dalam satu iaitu agro dan eko kepada para pengunjungnya.
Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Zaidi Kasim berkata, kem tersebut merupakan salah satu produk pelancongan tumpuan yang popular di negeri ini.
"Kem ini bukan sahaja terletak di lokasi amat strategik bagi pengunjung menikmati persekitaran yang kaya dengan kehijauan, malah dikelilingi dusun buah-buahan.
"Apa yang menarik, pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis buah-buahan khususnya ketika musim durian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, produk pelancongan itu semakin mendapat sambutan menggalakkan terutamanya daripada pelajar, penuntut universiti serta sektor swasta dan kerajaan.
"Kem ini juga mempunyai kemudahan lengkap untuk kumpulan peserta terbabit melakukan pelbagai aktiviti riadah.
"Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan termasuk rentas hutan, rentas alam semula jadi, Gladiator Game, berakit, berkolek, memancing, menyeberang sungai, roda cabaran, lubuk harta karun, terowong katak kongkong serta titian getir," katanya.
Tambahnya, aktiviti lain yang boleh dijalankan di kem D'Agroloka adalah merentas belantara pada waktu siang dan malam, berakit, memancing dan sebagainya.
Difahamkan purata pengunjung yang datang ke kem ini dalam setahun antara 6,000 dan 7,000 orang.
Pemilik kem, Datuk Shamsul Bahari Mat berkata, tempahan untuk program hujung minggu sudah pun penuh sehingga bulan Jun ini.
Katanya, pihaknya turut menyediakan khidmat fasilitator, jurulatih dan urus setia dalam mengendalikan program.
"Ada juga pihak institusi pengajian tinggi datang ke sini untuk menjalankan kajian terhadap tumbuhan, khususnya buah-buahan dan menulis jurnal untuk bacaan ilmiah," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130124/ws_02/Konsep-pelancongan-dua-dalam-satu-jadi-tumpuan#ixzz2IuKXJE96
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 Komen