Dalam kemalangan pukul 6.55 pagi itu, mangsa Chan Nyok Ming, 71, maut di tempat kejadian selepas tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Hamzah Alias berkata, mangsa dari arah Rompin yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu dipercayai membuat pusingan U secara tiba-tiba di lokasi kejadian.
"Difahamkan, mangsa membuat pusingan U kerana terlepas ke laluan kebunnya. Pada masa sama sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki tiga lelaki dan berada di belakang mangsa gagal mengelak lalu merempuh motosikal tersebut," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata Hamzah, mayat mangsa yang berasal dari Rumah Rakyat Rompin dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat.
Sementara itu, seorang pejalan kaki, N. Sorojini 66, turut maut akibat dirempuh sebuah van semasa mangsa hendak melintas jalan di Kilometer 17, Jalan Bahau-Kemayan pagi ini.
Dalam insiden pukul 7.20 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan setelah terhentak di kenderaan tersebut sebelum disahkan meninggal dunia pukul 11.15 pagi ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Jempol.
"Saksi kejadian bagi kedua-dua kes diminta tampil untuk membantu siasatan. Mereka juga boleh menghubungi IPD Jempol di talian 06-4582222. Kes-kes itu disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
0 Komen