4 Februari 2013
Pegawai Turus Trafik Negeri Sembilan, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah berkata, di setiap lokasi hotspot berkenaan, pondok bakal didirikan yang mana menawarkan perkhidmatan One Stop Center buat semua pihak.
Menurutnya, lokasi hotspot berkenaan bukan hanya bagi memantau pergerakan trafik yang dijangka meningkat, bahkan ia juga menerima rekod bagi individu yang ingin memaklumkan ketiadaan mereka di rumah sepanjang
musim perayaan.
“Kita harap orang ramai terutamany pengguna jalan raya dapat lebih bertimbang rasa dan mematuhi peraturan jalan raya. Malah, sikap tidak sabar pengguna seperti memotong di garisan berkembar serta melanggar lampu isyarat dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kejadian kemalangan.
“Oleh itu, kita mengambil langkah proaktif memantau di 11 lokasi hotspot iaitu masing-masing tiga di Jempol, Tampin dan Kuala Pilah serta satu di Jelebu dan Rembau,” katanya ketika ditemui di Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2013 anjuran Lions Club dan agensi berkaitan di Tampin Square, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang; Pengarah JKJR Negeri, Sanusi Abdul Hamid dan Presiden Lions Club Tampin, Jesu Dass M.
Sementara itu, Jesu Dass berkata, program yang kini menjadi acara tahunan kelab berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mematuhi peraturan jalan raya dan mencegah kemalangan berlaku.
“Malah, kita lihat dalam tempoh dua tahun ini, kadar kemalangan maut semakin berkurangan dan kita percaya kempen ini sangat membantu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Oleh itu, kita tingkatkan lagi edaran bungkusan sebanyak 500 pada tahun ini bagi memperluaskan lagi kempen yang kita laksanakan ini,” katanya.
0 Komen