11 Februari 2013
Anak ke-12 yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Air Hitam, Syamiroul Faraddillah Samsuri, 9, atau lebih mesra dipanggil Ayed perlu menjalani pembedahan kali kedua bagi meluruskan kakinya dan membolehkan dia berjalan seperti kanak-kanak lain.
Ibunya, Mahiran Ali, 44, berkata, anaknya selamat menjalani pembedahan kali pertama untuk membuang nanah di lututnya pada Julai 2012.
“Namun, selepas itu kakinya tidak boleh berlipat atau berjalan menjejak tanah. Dia juga terpaksa berjalan berjingkat-jingkat dan kini terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak.
“Pakar perubatan nasihatkan anak saya itu jalani pembedahan kedua yang berkos RM20,000 agar dia boleh berjalan normal sementara tulangnya masih lembut dan tahap kesihatannya yang semakin stabil.
“Namun, akibat masalah kewangan bagi menampung kos perjalanan ulang alik ke hospital di Kuala Lumpur serta rawatan di sana menyebabkan pembedahan itu tertangguh,” katanya.
Menurutnya, Syamiroul sepatutnya dirujuk di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah hujung tahun lalu namun ia dirujuk semula ke sebuah hospital di Kuala Lumpur kerana hospital itu mempunyai kepakaran dalam kes anaknya.
Keadaan lebih memeritkan apabila kesihatan suaminya, Samsuri Udin, 54, tidak menentu, dan memerlukan rawatan susulan di hospital berhampiran.
Mahiran berkata, duit pencen askar suaminya tidak dapat menampung kos perubatan anaknya dan suaminya sendiri.
Sementara itu, Syamiroul berkata, dia gembira kerana dapat meneruskan sesi persekolahan selepas beberapa kali tidak hadir ke sekolah kerana lutut kaki kirinya membengkak dan bernanah selain tidak mampu berjalan dengan sempurna.
Menurutnya, rasa sakit yang ditanggungnya selama ini hilang dan ia bagaikan mimpi kerana dapat melihat kembali bentuk asal lututnya.
“Luka dan kesan pembedahan sudah beransur pulih, cuma Ayed teringin jalan tanpa menggunakan tongkat selepas ini,” katanya.
Kepada mana-mana individu yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mahiran di talian 019-5196343.
JEMPOL - Ibu kepada 13 anak di Air Hitam di sini buntu memikirkan nasib salah seorang anaknya yang perlu menjalani pembedahan kali kedua di sebuah hospital di ibu negara berikutan masalah kewangan.
0 Komen