Bangunan usang, peniaga gusar
Bahagian bumbung yang sudah bocor dan dikhuatiri hanya menunggu masa untuk jatuh di Gerai Arked Majlis Pekan Pasir Besar.
Bangunan usang, peniaga gusar
Pemandangan sepi di Gerai Arked Majlis Pekan Pasir Besar.
GEMAS – Rata-rata peniaga dan pengunjung di deretan Gerai Arked Majlis Pekan Pasir Besar, di sini, bimbang apabila bangunan berkenaan semakin usang dan mengundang bahaya kepada orang awam.

Malah, ada peniaga tidak dapat meneruskan perniagaan mereka di kedai yang disewa kerana bahagian bumbung berkenaan bocor sehingga menyebabkan peralatan mereka rosak, selain lokasi terlindung dari pandangan pengguna jalan raya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati bahagian bumbung bocor bukan hanya di luar kedai, malah lebih buruk lagi ia membabitkan bahagian dalam deretan kedai berkenaan.

Sembilan komputer rosak


Peniaga, Mohd Azhar Jafar, 52, sudah lebih tiga bulan dia terpaksa beroperasi membaiki komputer dari rumah sahaja memandangkan bahagian bumbung dalam kedai yang disewanya itu bocor serta menyebabkan banyak barangan di kedainya dibasahi air.

Dia yang sudah berniaga di lokasi berkenaan sejak enam tahun lalu kini terpaksa membuka komponen-komponen komputer bagi mengeringkan bahagian yang terkena air hujan.

“Bagaimanapun, sekiranya dihitung sudah kira-kira sembilan unit PC termasuk komputer riba lama rosak susulan masalah bumbung bocor ini sehingga saya terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit.

“Sejak dua tahun yang lalu, saya sudah dua kali mengetengahkan masalah ini kepada pihak bertanggungjawab, namun sehingga ke hari ini tiada tindakan yang diambil.  Malah, saya juga disuruh untuk membaiki sendiri dan kemudiannya membuat tuntutan kepada pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan, dekat sini, semalam.

Baiki tandas, pantau kebersihan

Peniaga, Siti Kalsom Anas, 38, yang sudah berniaga di lokasi berkenaan sejak tujuh tahun lalu berkata, dia bimbang melihat bahagian bumbung di hadapan kedai andaman pengantinnya yang sudah lopong.

“Mujur masa ia jatuh, tiada orang awam yang berada di bawahnya.  Tetapi kita khuatir jika masalah ini berlanjutan, setiap individu yang berada di bangunan ini berhadapan dengan risiko bahagian bumbung jatuh.

“Oleh itu, saya harap berharap pihak bertanggungjawab dapat memandang serius mengenai masalah kemudahan yang sudah terlalu usang dan merbahaya.  Malah, kita yang sudah lama berniaga di sini memang berharap kemudahan seperti sinki, dan tandas dapat diperbaiki serta dipantau kebersihannya,” katanya.

Terpaksa tambah lampu sendiri

Bagi peniaga warga emas, Musa Ahmad, 73, dia selesa berniaga di lokasi berkenaan sejak beberapa tahun yang lalu sehingga lewat malam kerana ia merupakan sumber pendapatannya bagi menyara kehidupan.

Bagaimanapun menurutnya, masalah lampu menyebabkan dia terpaksa menambah kemudahan itu sendiri untuk meneruskan operasi perniagaan sehingga malam.

“Dulu ada juga kedai yang membuka perkhidmatan sehingga malam, namun susulan lokasi ini sudah jarang dikunjungi, lebih banyak yang memilih untuk tidak beroperasi.

“Oleh itu, pak cik amat berharap tindakan segera dari pihak berkenaan memandangkan masih ada beberapa penaga lagi yang bertahan di sini untuk mencari rezeki buat keluarga masing-masing,”  katanya.

Peruntukan masih belum diluluskan

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar ketika dihubungi berkata, pihaknya memang sedia maklum mengenai masalah itu dan permohonan untuk baik pulih gerai majlis sudah diketengahkan pada tahun lalu.

“Kita sudah mohon peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun hanya permohonan baik pulih di Taman Sentosa sahaja mendapat kelulusan.

“Bagi gerai di Pekan Pasir Besar kita akan membuat rayuan semula memandangkan ia membabitkan kos yang begitu tinggi,” katanya.