Bayi 18 bulan jadi mangsa lotong
Nor Zuridah mendukung anaknya yang sedang mendapatkan rawatan di HTJS.
SEREMBAN – Seorang kanak-kanak berusia setahun enam bulan terpaksa dimasukkan ke wad setelah cedera digigit seekor lotong jantan di rumahnya di Taman Bukit Kristal, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, Mohamad Hafizul Abdullah sedang nyenyak tidur sebelum diserang haiwan berkenaan yang dipercayai masuk melalui tingkap di bilik rumahnya.

Ibu mangsa, Nor Zuridah Abdullah, 19, berkata, ketika kejadian dia bersama suaminya berada di kebun tidak jauh dari rumahnya untuk bercucuk tanam.

“Sebelum saya pergi ke kebun, Hafizul sedang tidur di bilik dan saya meminta ibu saudara saya menjaganya.

“Tapi sebaik sahaja pulang ke rumah, saya terdengar tangisan Hafizul yang lain dari biasa menyebabkan saya fikir sesuatu telah berlaku,” katanya.

Nor Zuridah berkata, ibu saudaranya memberitahu Hafizul diserang seekor lotong jantan yang dipercayai masuk melalui tingkap bilik.

Menurutnya, dia hampir pitam sebaik sahaja melihat badan dan kaki anaknya berlumuran darah digigit lotong berkenaan.

“Ibu saudara saya tidak sedar lotong itu masuk ke rumah kerana dia sedang masak di dapur manakala ahli keluarga lain sedang berehat di ruang tamu.

“Tapi, tiba-tiba mereka terkejut terdengar tangisan Hafizul dan sempat melihat seekor lotong keluar dari arah tingkap bilik,” katanya.

Nor Zuridah berkata, dia dan suami kemudian bergegas membawa anaknya ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil.

Sementara itu katanya, kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan berkenaan, namun penduduk sudah sering diganggu haiwan liar berkenaan.

Nor Zuridah berkata, dia pernah dikejar haiwan itu menyebabkan setiap kali mahu keluar rumah dia akan membawa lastik sebagai langkah keselamatan.

“Jadi saya berharap pihak berkenaan dapat melakukan tindakan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.