7 Februari 2013
Kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang itu disedari Rosita Omar, 42, yang ketika itu sedang memasak di dapur bagi menyediakan hidangan makan malam untuk keluarga.
Menurut Rosita, dia terkejut mendapati seekor beruk jantan memerhatikannya semasa dia hendak ke ruang tamu melihat dua anaknya, Nurfarhana Nurhashim, 17, dan Norman Farhan, 12, sedang menyiapkan kerja sekolah.
"Kerana terkejut, saya menjerit mengarahkan anak-anak saya ke dapur menyelamatkan diri kerana bimbang diserang," katanya.
Menurutnya, suaminya, Nurhashim Md Jani, 49, yang terkejut dengan jeritan itu, terus ke ruang tamu dan cuba menghalau haiwan berkenaan yang mula bertindak agresif
"Suami saya kemudian mencampakkan pisang ke arah beranda rumah untuk menarik perhatian beruk itu, tapi haiwan itu tidak berganjak.
"Kami berusaha mengusirnya tetapi ia berlegar-legar pula di beranda rumah, sesekali memerhatikan kami di dalam rumah," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.
Rosita berkata, kira-kira 10 minit kemudian, beruk itu masih tidak berganjak dan berkawal di pintu rumah sebelum memanjat bumbung.
"Saya ingat beruk itu sudah lari ke hutan tapi saya terkejut apabila terlihat beruk berkenaan meninjaunya dari loteng rumah memerhati.
"Bimbang berlaku kejadian buruk, saya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk bantuan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Saiful Nazmi Said berkata, pihaknya menerima panggilan dari penghuni rumah berkenaan kira-kira 6.40 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama dua lagi anggota.
“Setiba di lokasi kejadian mendapati beruk sebesar kanak-kanak berusia tiga tahun itu berada di loteng rumah terbabit dan melarikan diri ke satu sudut sebaik menyedari kehadiran kami,” katanya.
Menurutnya, beruk yang bertindak agresif cuba menyergah anggota sebelum berlari bersembunyi di sebalik barangan diletakkan di loteng sehingga usaha memujuk secara perlahan dilakukan.
“Kami berikan nama 'Awang' kepada beruk itu dan memanggilnya dengan perlahan dan lembut sambil berhati-hati dengan langkah pada palang kayu loteng, bimbang akan terbolos dari siling rumah," katanya.
Bagaimanapun, katanya, beruk berkenaan akhirya mengalah dan turun dari loteng, sebelum anggota JPAM menangkapnya untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
beruk ke borok ni