22 Februari 2013
Hamisah Amat, 87, ketika ditemui berkata, dia sudah putus harapan untuk meraih simpati mahu pun meminta bantuan memandangkan permohonan yang dibuatnya sebelum ini tidak mendapat perhatian.
Menurutnya, dia yang tinggal di Kampung Jiboi di sini, sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi dan hanya menunggu masa rumahnya runtuh berikutan dinding kayu rumahnya itu dipenuhi anai-anai.
Kerisauannya bukan setakat itu sahaja, apabila hampir keseluruhan bumbung rumahnya bocor akibat terlalu usang, sehingga menyebabkan rumahnya dipenuhi air sewaktu hari hujan.
“Oleh kerana rumah yang didiami ini adalah rumah lama, maka banyak benda yang sudah rosak dan bocor. Misalnya, bumbung zink rumah ini, boleh dikatakan hampir seluruhnya telah bocor dan syiling pula banyak yang sudah jatuh.
“Keadaan paling teruk apabila zink di bahagian dapur rumah saya sering kali terangkat apabila ditiup angin kenyang, sehingga saya membayangkan satu hari nanti pasti bumbung rumah saya akan terbang.
“Apabila tibanya hari hujan, hidup kami seolah-olah dalam kerisauan kerana bimbang bumbung ditiup angin, selain mengalami keadaan bocor di merata tempat dalam rumah ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Tambahnya, kebimbangan akan berlaku jika hujan turun pada waktu malam, kerana bumbung di bilik tidur rumah ini juga banyak yang bocor.
“Apabila hujan turun, cucu dan anaknya akan tidur di ruang depan rumah bagi mengelakkan terkena air hujan yang mengalir dari bumbung dan juga tepi-tepi dinding bilik,” katanya.
Sementara itu, cucunya, Yusof Yahya, 45, memberitahu, dia telah membuat dua kali permohonan untuk mendapatkan bantuan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada awal tahun lalu, namun semuanya hampa.
Jelasnya, lebih menyedihkan lagi, borang permohonan dan segala dokumen yang dihantar ke tempat berkaitan itu, didakwa hilang oleh kakitangan di pejabat itu, sehingga menyebabkan permohonannya tidak dapat diproses.
Dia yang hanya bekerja sebagai pemandu kereta itu berkata, kejadian tersebut tidak sepatut berlaku memandangkan perkara itu adalah sesuatu yang penting dan melibatkan kepentingan masyarakat.
“Saya kecewa dengan apa yang telah berlaku ke atas kami sekeluarga, tidak seharusnya perkara sepenting ini dipandang ringan, kerana ia melibatkan maruah dan kebajikan kami.
“Jika kami mampu membaikinya, sudah lama kami buat sendiri tanpa perlu menantikan bantuan orang lain,” katanya.
Tambah Yusof, dia dan empat anaknya yang masih bersekolah itu, sentiasa berharap ada pihak yang dapat membantu membaiki semula rumahnya itu.
Katanya lagi, ini juga satu-satunya rumah peninggalan yang ada buat dia dan neneknya itu dan jika ia runtuh mereka tiada tempat untuk berteduh.
0 Komen