18 Februari 2013
Dia merupakan seorang daripada 15 mangsa kebakaran di deretan kedai di Pasar Lama Pekan, dekat sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian bermula kira-kira 12.30 pagi itu, dia berada di rumahnya di Tanjong Ipoh dan hampir pengsan sebaik tiba di tempat kejadian mendapati semua barang keperluan andaman serta baju hangus terbakar.
Malah, lebih terkilan, tempahan baju untuk majlis perkahwinan yang ditempah pelanggan termasuk majlis terdekat pada 23 Februari ini di Senaling, juga musnah.
"Habis semua pakaian dan aksesori pengantin termasuk empat mesin jahit.
"Kerugian dianggarkan lebih dari RM80,000 melibatkan lebih 100 pasang pakaian pengantin dan tempahan baju daripada pelanggan tetap," katanya.
Jefry berkata, dia sudah berniaga di situ sejak 1999 dan bergerak sendiri tanpa bantuan pekerja.
Tiga hari selepas pemergian pemilik kedai
Ibarat jatuh ditimpa tangga, selepas tiga hari pemergian pemilik Kedai Pinggan Mangkuk Hamid, Allahyarham Abdul Hamid Peer Mohamed, 70, kini kedai itu musnah dijilat api awal pagi tadi.
Anak arwah, Jamilah Abdul Hamid, 43, melahirkan rasa sedih, namun reda dengan apa berlaku.
"Arwah sudah berniaga pinggan mangkuk sejak 50 tahun lalu dan dikenali orang ramai kerana sikapnya yang baik hati. Kami tidak sangka perkara ini boleh berlaku dalam sekelip mata," katanya.
Menurutnya, dia menerima panggilan dari peniaga lain kira-kira 12.50 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.
"Api marak dengan pantas menyebabkan kedai musnah dan mengalami kerugian RM200,000," katanya.
Sementara itu, pemilik kedai barangan aksesori, A Manikam, 62, mengalami kerugian RM100,000 selepas kedai miliknya dan anaknya, M Paramesvary, 33, turut musnah terbakar.
Menurutnya, dia terima panggilan daripada rakan niaga pada 1.15 pagi serta terdengar bunyi siren bomba dan penyelamat, namun tidak mengesyaki apa-apa.
"Waktu tiba di tempat kejadian, kedai sudah dijilat api dan bomba mengalami kesulitan memadamkan kebakaran kerana tekanan air rendah.
"Saya sudah berniaga di sini sejak 35 tahun lalu dan kejadian ini menyebabkan saya hilang punca rezeki kerana semua barang sudah musnah," katanya.
40 minit kawal api
Penolong Kanan Penguasa Bomba II, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Jaafar Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.53 pagi.
"Setibanya di tempat kejadian, api sudah mula marak. Saya bersama 15 anggota lain cuba memadamkan kebakaran dari merebak ke premis berhampiran.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Tampin serta Bahau turut membantu memadamkan kebakaran. Api berjaya dikawal 40 minit kemudian dan padam sepenuhnya dua jam selepas itu,” katanya.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu, Adun Senaling, Datuk Ismail Lasim berkata, premis niaga berkenaan dinaik taraf tahun lalu melalui peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebanyak RM400,000.
"Namun kerana kemalangan tak diduga, ia musnah sama sekali," katanya ketika melawat kawasan kejadian semalam bersama Adun Pilah, Adnan Abu Hassan.
Dalam pada itu, nasib peniaga terbabit turut mendapat perhatian Persatuan Tzu Chi Bahau.
Wakilnya, Than Yok Seng berkata, pihaknya bersedia menghulurkan bantuan kepada peniaga terlibat.
"Kita akan berusaha membantu sekadar termampu kerana kebanyakan mereka hilang punca pendapatan dalam sekelip mata," katanya.
0 Komen