Port Dickson: “Mungkin todak berdendam dengan saya kerana bapa tiri saya suka menangkap ikan itu pada zaman mudanya dulu,” kata Abu Bakar Bachik, 57, berseloroh mengenai kejadian perutnya tembus akibat ditusuk ikan todak.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Abu, berkata kejadian yang berlaku selepas dia dan rakannya memasang jaring di laut berhampiran resort marina di Batu 7 di sini, Isnin lalu, tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadi nelayan.
Pak Abu yang ditemui di Jeti Nelayan Teluk Kemang di sini, semalam, berkata kejadian itu dianggap asam garam dalam kerjanya sebagai nelayan sejak 30 tahun lalu.


Tak patah semangat

“Ini adat resam orang bekerja di laut. Walaupun cedera teruk, saya tidak akan berhenti menjadi nelayan.

“Saya sudah sebati dengan laut dan akan terus menjadi nelayan selagi terdaya,” katanya yang akan kembali ke laut selepas sembuh.

Dalam kejadian jam 3 pagi Isnin lalu, Pak Abu berlumuran darah apabila sebahagian ususnya terkeluar selepas ditusuk ikan todak sepanjang kira-kira satu meter.
Menceritakan kembali kejadian itu, Pak Abu berkata, dia ternampak ikan itu melompat ke arahnya dari depan ketika mengemudi bot selepas memasang jaring di kawasan berkenaan.

“Rasanya seperti ditumbuk kemudian terasa darah panas keluar di sebalik dua lapis baju yang dipakai.

“Rakan saya Rosli Abd Manap, 55, segera mengemudi bot ke pangkalan dan menghantar saya ke Hospital Port Dickson sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk pembedahan lebih enam jam,” katanya.

Beri bantuan kepada mangsa

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Abdullah, berkata pihaknya memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa yang menjadi ahli Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang.

“Mangsa berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan menerima bantuan elaun sara hidup RM200 setiap bulan.

“Dia juga dilindungi skim insurans berkelompok, inisiatif kerajaan menjaga kebajikan nelayan negara ini,” katanya sambil menambah persatuan nelayan kawasan akan menampung kos perubatan mangsa.

Abu Bakar berkata, kemalangan itu adalah kejadian terpencil kerana ikan todak tidak bersifat ganas.


Beliau berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana ikan todak tidak berada di kawasan pantai tempat pengunjung beriadah.