Yan Hui
Yan Hui menutup mukanya ketika hadir di Mahkamah Sesyen, semalam.
SEREMBAN – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam hari dari tarikh tangkapan dan denda sebanyak RM11,500 setelah mengaku bersalah memberi rasuah kepada Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, semalam.

Tertuduh, Voon Yan Hui, 28, yang tidak diwakili peguam, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Yan Hui membuat pengakuan itu di depan Hakim, Datin Nursinah Adzmi, setelah pertuduhan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fairuz Johari, dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Yan Hui didakwa memberi suapan sebanyak RM2,300 kepada Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sembilan.

Dia melakukan kesalahan itu sebagai dorongan kepada pengadu untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita warga Uzbekistan, Oksana Dubsova, 31,  atas kesalahan melanggar syarat pas di bawah peruntukan Peraturan 39 (b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 di Pejabat Imigresen Negeri Sembilan kira-kira jam 12.45 malam, 2 Februari lalu.

Yan Hui dituduh di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang tinggi.

Berdasarkan fakta kes, pada 1 Februari lalu, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman menerima maklumat daripada pegawainya berkenaan dengan sebuah laman web, yang dipercayai menawarkan perniagaan pelacuran.