20 Februari 2013
Muzamir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, dia berada di halaman rumah sebelum melihat asap tebal di bahagian ruang tamu hadapan rumah dan hanya sempat menyelamatkan salah sebuah dari dua motosikal yang diletakkan berhampiran rumah.
Menurutnya, walaupun asap tebal dia cuba masuk ke dalam rumah bagi memadamkan suis utama, namun akhirnya membatalkan hasrat berbuat demikian apabila api makin marak dan hanya menenangkan ibunya yang mahu masuk ke dalam rumah.
“Mujur mak berada di luar, manakala adik saya yang merupakan OKU (orang kurang upaya) Norlilawati Mohd, 38, dan anak buah saya, Siti Nor Shazwani Zailani, 5, sempat menyelamatkan diri walaupun masih lagi terperanjat dengan kejadian ini sehingga kini.
“Susulan api yang marak sekelip mata, usaha kami memadam kebakaran tidak berhasil lebih-lebih lagi pada hari ini (semalam) bekalan air tiada di kampung ini serta lokasi berdekatan,” katanya.
Akibat kebakaran itu, sembilan sekeluarga itu tinggal sehelai sepinggang selepas rumah papan yang berusia lebih 70 tahun musnah dalam kejadian itu.
Lihat asap dari tempat kerja
Bagi Khanizar Mohd, 43, dia mulai berasa cemas apabila melihat asap berkepul-kepul naik ke udara dari tempat kerja selepas menerima panggilan daripada adik-beradiknya yang menyuruhnya pulang dengan segera.
Menurutnya, ketika itu, dia hanya memikirkan keadaan tiga ahli keluarga yang berada di rumah termasuk anak bongsunya dan perasaan cemasnya terjawab apabila melihat keadaan rumahnya yang sudah musnah dalam kebakaran.
“Akak tak tahu nak fikir apa, mungkin ini dugaan yang harus akak sekeluarga hadapi lebih-lebih lagi kerugian dianggarkan mencecah RM200,000.
"Buat masa ini, kami sekeluarga akan menumpang teduh di rumah abang saya (Muzamir) sehingga mempunyai tempat tinggal baru, " katanya.
Guna sumber air sungai berhampiran
Susulan insiden berkenaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan jam 1.21 petang.
Zamrus berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya dengan kekuatan tujuh anggota dan dua jentera iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin dan Rembau berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kediaman berhampiran sekitar jam 1.39 petang.
“Namun, kerja-kerja memadamkan kebakaran berhadapan dengan cabaran besar apabila bekalan air di lokasi kejadian dan berdekatan tiada dan kita meminta bantuan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menghantar bantuan air sebanyak 800 galen dan air sungai berhampiran.
“Punca dan jumlah kerugian kini masih lagi dalam siasatan, " katanya.
Ahli Parlimen Rembau hulur bantuan RM2,000
Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya menyalurkan terlebih dahulu bantuan kecemasan sebanyak RM2,000 kepada mangsa kebakaran bagi membantu mengurangkan beban susulan bencana berkenaan.
“Malah, mangsa juga boleh mengisi borang permohonan bagi memiliki rumah mesra rakyat bagi membolehkan mereka mendapat kediaman baru yang mana rumah lama yang terbakar akan dirobohkan bagi tujuan berkenaan, " katanya.
0 Komen