28 Februari 2013
Warga emas, Woon Yun Sang, 64, berkata, dia mendirikan rumah tangga 38 tahun lalu bersama Chan Swee Lan, 54, dan dikurniakan empat anak di mana tiga daripadanya dilahirkan OKU.
Menurutnya, salah seorang anaknya, Woon Kam Fatt, 27, dihantar ke Hospital Permai, Tampoi sejak sembilan tahun lalu manakala dua lagi, Woon Kam Yew, 36, dan Woon Kam Sun, 32, tinggal bersamanya sementara anak bongsunya yang normal, Woon Kim Hing, 20, bekerja di Kuala Lumpur.
"Saya bekerja di perkuburan Cina sebagai pengamal Feng Shui dan pendapatan yang diterima tidak menentu.
"Jika tiada wang, saya cuma berharap ihsan jiran tetangga untuk memberikan makanan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Temensu, dekat sini.
Yun Sang berkata, bukan mudah menjaga anak OKU kerana dia pernah digigit oleh Kam Yew hingga cedera.
"Bukan tidak mahu menghantar anak ke hospital tetapi saya kasihan melihat mereka di sana. Lebih-lebih lagi kami jarang bertemu kerana jauh.
"Walaupun anak-anak saya bermasalah, tetapi saya tetap tabah untuk menjaga mereka," katanya.
Katanya, keadaan hidup yang serba daif mendorong dia memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk anak-anaknya dan isteri.
"Anak saya baru sahaja terima wang bulanan JKM tahun ini sebanyak RM200 bersama kad OKU. Saya juga ada memohon bantuan untuk isteri dan anak lain tetapi tidak diterima.
"Rumah yang kami diami juga sudah usang, bumbung bocor selain dinding dimakan anai-anai. Malah rumah kami juga sering mengalami gangguan bekalan air. Kadang-kadang kami menadah air hujan untuk kegunaan harian," katanya yang berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan kepada dia sekeluarga.
Sementara itu, atas keprihatinan MCA Bahagian Kuala Pilah yang diketuai Datuk Chai Fa Fui, beliau telah menziarah keluarga itu sekali gus memberi sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan.
Fa Fui berkata, beliau menerima maklumat berhubung keluarga Yun Sang daripada pihak hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) selepas salah seorang anaknya yang OKU sakit teruk.
“Pihak hospital datang merawat di rumah dan melihat kedaifan keluarga ini lalu menghubungi saya. Jadi, bertindak atas maklumat, saya bersama ahli MCA menghulurkan bantuan.
“Jika ada sesiapa yang memerlukan pertolongan boleh berjumpa dengan MCA dan kami akan membawa perkara itu ke pihak tertinggi,” katanya.
KUALA PILAH – "Kadang-kala saya terpaksa tebal muka di kedai makan, meminta sedekah demi mencari makanan untuk isteri dan anak-anak,". Itulah luahan seorang suami dan bapa yang terpaksa menanggung isteri serta tiga anaknya yang orang kurang upaya (OKU).
0 Komen