14 Februari 2013
Menurutnya, dia amat berharap masalah dihadapinya itu dapat diselesaikan sebelum pilihan raya kerana bimbang keadaannya lebih sukar.
“Selepas pilihan raya, macam-macam boleh berlaku dan berubah. Jadi, saya amat berharap masalah saya ini dapat diselesaikan oleh Datuk Seri Hishammuddin sendiri kerana pelbagai usaha telah dilakukan sebelum ini tetapi semuanya tiada berkesudahan.
“Lagipun bulan Mac nanti keputusan STPM akan keluar dan selepas itu permohonan ke universiti pula akan dibuka. Jadi, saya bimbang saya tidak berpeluang memohon kerana tiada MyKad,” katanya.
Kasthuri berkata, dia berhasrat melanjutkan pengajian ke universiti dalam bidang Sains dan membantu mengubah taraf hidup keluarganya.
Menceritakan bagaimana masalah itu berlaku, Kasthuri berkata ia berpunca disebabkan perkahwinan bapa dan ibunya Melody Mariano, 40, yang berasal dari Filipina tidak dapat didaftarkan berikutan ibunya kehilangan pasport 20 tahun lalu.
“Ibu saya datang ke Malaysia melalui ejen pekerja asing dan dia bekerja di sini sebagai pembantu rumah sehinggalah dia bertemu dengan bapa saya.
“Tapi pasport ibu saya hilang dilarikan ejen. Selama 20 tahun ibu dan ayah saya berusaha mendapatkan pasport baru untuk ibu saya dan hanya hujung tahun lalu ia selesai namun malangnya perkahwinan mereka masih belum dapat didaftarkan,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu telah memberi tempias kepadanya adik-beradiknya menyebabkan mereka tidak layak diberi status warganegara.
Sementara itu adiknya Vishok, 19, turut berdepan masalah melanjutkan pengajiannya selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.
Hasratnya ingin melanjutkan pengajian di kolej tidak kesampaian dan dia kini hanya menghabiskan masa duduk di rumah.
Manakala bapanya, T Gunalan, 43, melahirkan rasa kecewa berikutan usaha mendapatkan pasport isterinya hanya selesai selepas 20 tahun menunggu.
“Bagaimanapun saya bersyukur kerana November tahun lalu isteri saya berjaya mendapat pasportnya tapi masalah anak-anak saya pula belum selesai,” katanya.
Gunalan yang bekerja sebagai pemandu teksi berkata, Kasthuri anak yang bijak dan dia mendapat keputusan membanggakan bagi setiap peperiksaan.
“Semua dokumen yang diminta saya telah sediakan dan hantar tapi tidak juga selesai. Tolonglah, saya merayu kepada kerajaan untuk membantu saya sekeluarga,” katanya.
0 Komen