Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun pasukan polis dilihat sebagai berperanan utama dalam hal itu, namun masyarakat perlu mempunyai sikap dan inisiatif sendiri untuk menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda mereka.
"Jangan mengambil sikap yang senang dan sambil lewa dan sikap menyerahkan segala-gala tentang soal keselamatan kepada polis kerana kita mesti mempunyai tanggungjawab terhadap harta, diri dan keluarga kita.
"Di Negeri Sembilan ini, hampir 70 peratus jenayah yang berlaku ialah jenayah ringan seperti ragut dan kecurian. Ini jelas jika rakyat dapat menjaga harta benda mereka, dapat mengurangkan banyak indeks jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Balai Polis Sikamat di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.
Katanya, kebanyakan jenayah ringan ini juga terjadi akibat kecuaian diri seperti tidak mengunci pintu rumah atau pagar.
Menurutnya, bagi mengurangkan indeks jenayah ringan ini, beliau menggesa penduduk kawasan taman perumahan dan kampung untuk mewujudkan skim rondaan sukarela bagi mengawasi kawasan masing-masing.
Sementara itu, Khalid berkata, pembinaan bangunan baharu Balai Polis Sikamat itu merupakan inisiatif berterusan untuk meningkatkan kemudahan tempat kerja dan kediaman anggota polis sekaligus meningkatkan mutu perkhidmatan.
"Apa sahaja penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat termasuk menambah bilangan anggota. Ia perlu dilihat terutama dari segi kemampuan kerajaan, tapi yang pasti penambahbaikan akan terus dijalankan," katanya.
Balai Polis Sikamat itu yang dibina di kawasan seluas 10.3 hektar siap pada 26 Mei tahun lalu dengan kos keseluruhan berjumlah hampir RM43 juta merangkumi balai dan kuarters kediaman anggota. - BERNAMA


0 Komen