24 Mac 2013
Mohamad Ramlan Mohamad Janor, 58, seorang bekas anggota tentera yang menderita lumpuh sejak setahun lalu, meninggal dunia atas kerusi roda selepas kira-kira empat minit menerima bantuan.
Kejadian disedari kira-kira 4 petang selepas dia didapati langsung tidak menunjukkan sebarang pergerakan.
Ketika kejadian, arwah dikunjungi wakil Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sikamat bersama Ketua Puteri Umno Seremban, Wan Salwati Abdullah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan.
Pegawai Khas pusat khidmat berkenaan, Taslim Khan Kutub Din berkata, rumah arwah merupakan lokasi keempat dikunjungi mereka sempena program menyampaikan bantuan barangan keperluan.
“Kita sedia maklum arwah sakit dan sebelum ini pun kita pernah datang melawatnya untuk kita hulurkan bantuan.
“Tapi tidak sangka pula, kunjungan kita kali ini dikejutkan dengan pemergian arwah yang sudah terlantar sakit sejak setahun lalu,” katanya.
Menurutnya, sebelum itu, semua yang hadir mengerumuni arwah yang duduk atas kerusi roda sambil bertanya khabar dengan isterinya.
Bagaimanapun, katanya, masing-masing mula berasa tidak sedap hati apabila arwah langsung tidak menunjukkan sebarang pergerakan dan matanya langsung tidak berkelip.
“Jadi, kita pun angkat arwah dan baringkannya ke atas katil sebelum menghubungi Jabatan Pertahanan Awam dan Hospital Tuanku Ja'afar.
“Selepas pegawai perubatan membuat pemeriksaan, mereka mengesahkan arwah telah meninggal dunia,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Taslim berkata, kejadian itu amat mengejutkan semua yang hadir kerana ia berlaku tanpa dijangka.
Paling menyedihkan, katanya, arwah baru sahaja siap dimandikan oleh isteri sebelum rombongan menyampaikan bantuan tiba.
“Arwah mempunyai tiga orang anak dan isterinya pula seorang suri rumah. Ketika kejadian, hanya isteri dan salah seorang anak arwah ada di rumah," katanya.
Berikutan insiden mengejut itu, pusat khidmat berkenaan turut menyampaikan RM1,000 bagi urusan pengkebumian.
0 Komen