5 Mac 2013
Mohd Fazli Mohd Sharif, 35, berkata, longkang berkenaan dibina empat bulan lalu walau bagaimanapun, projek yang dianggap siap itu tidak sempurna kerana dipenuhi tanah.
“Saya pelik bagaimana longkang ini dibina di sini, sedangkan tidak pernah banjir. Sebaliknya pula, apabila dibina longkang, berkemungkinan banjir akan berlaku ekoran laluan longkang ditimbus tanah,” katanya.
Menurutnya, dia sering menggunakan jalan kampung itu untuk ke arah Bahau malah tanah miliknya seluas 0.8 hektar juga berhampiran jalan tersebut.
“Apabila ada musim buah-buahan, saya akan masuk ke kebun untuk mengeluarkan hasil. Jika sebelum ini, saya boleh menggunakan motosikal untuk masuk ke kebun, tetapi sekarang tidak boleh ekoran pembinaan longkang," katanya.
Mohd Fazli berkata, dia sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak berwajib, namun sehingga kini masih tiada tindakan yang diambil.
Dalam pada itu, dia berkata, difahamkan sebarang kerja-kerja pembinaan baru daripada pihak kerajaan sepatutnya perlu ada papan tanda yang menyatakan mengenai projek tersebut, namun untuk projek pembinaan longkang ini tiada.
“Membazir sahaja longkang ini dibina di tempat ini. Kawasan ini bukan ada rumah, hanya terdapat kebun sahaja. Lebih baik ia dibina di tempat yang bersesuaian dan memberi manfaat kepada orang lain.
“Oleh itu, diharap pihak berwajib dapat mengambil serius perkara ini kerana pembinaan longkang di sini hanya membazirkan wang. Malah struktur longkang juga tidak sempurna, ibarat melepaskan batuk di tangga,” katanya.
0 Komen