22 Mac 2013
Kejadian berlaku kira-kira 11.45 pagi ketika bas dipandu dari arah Port Dickson ke Telok kemang.
Penumpang bas, Albaniah Malik, 66, berkata, sepanjang usianya , ini adalah kali pertama melihat insiden kemalangan di depan mata dan lebih memeranjatkan dia turut terlibat dalam insiden berkenaan.
“Rasa nak gugur jantung mak cik tengok kemalangan tadi. Kalau ada sakit jantung mesti mak cik pengsan.
“Dah lah mak cik duduk depan sekali. Walau macam mana sekalipun mak cik tetap bersyukur sebab kami semua selamat, cuma orang yang dalam kereta itu sahaja mengalami cedera,” katanya.
Menurutnya, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Telok Kemang dari Bandar Port Dickson bersama anak dan dua cucunya.
Anak Albaniah, Azlina Azman, 29, berkata, kejadian berlaku begitu pantas.
“Apa yang saya perasan, bas dipandu dengan perlahan lebih-lebih lagi bas baru sahaja berjalan selepas berhenti di lampu trafik.
“Tiba-tiba ada sebuah kereta memotong bas dan mungkin pemandu kereta berkenaan hilang kawalan sebelum terus merempuh tembok di kiri jalan dan kereta itu terpusing dua kali.
“Pemandu bas sempat membrek namun bertembung dengan kereta itu yang menghalang laluan bas,” katanya.
Azlina berkata, ketika kejadian dua anaknya sedang tidur dan berada di pangkuannya. Mujur pertembungan bas dan kereta itu tidak kuat, jika tidak pasti kami akan terhumban atau jatuh ke depan.
Penumpang, Nurul Syafika Abd Shukor, 20, berkata, dia dalam perjalanan ke Politeknik Port Dickson dan duduk di bahagian belakang bas.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, saya ada mendengar bunyi dentuman yang agak kuat dan melihat ada kepulan asap di bahagian bas.
“Keadaan panik seketika selepas mengetahui bas yang saya naiki terlibat dengan kemalangan,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelaras Trafik Cityliner Port Dickson, Rahim Jolan berkata, semua penumpang termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan.
“Semua penumpang yang terlibat juga dipindahkan ke sebuah bas yang lain dengan kadar segera untuk mengelakkan penumpang menunggu terlalu lama,” katanya.
Rahim berkata, bas Cityliner yang terbabit dalam kemalangan itu baru sahaja keluar daripada platform perhentian bas Port Dickson sekitar 11.30 pagi untuk ke Tanjung Agas mengikut laluan Port Dickson-Telok Kemang dan Pasir Panjang.
Dalam pada itu, pemandu dan tiga penumpang kereta yang cedera dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.
0 Komen