Tarik diri di saat akhir
3 Mac 2013
Pengerusi BL1M Negeri, Mohd Nizam Aman berkata, walaupun kecewa dengan tindakan pihak berkenaan, namun ia tidak menghalang perjalanan program itu yang berlangsung di daerah ini sebagai ‘pilot test’ BL1M.
"Kita akui memang ada kelemahan untuk menjayakan program pertama seperti ini.
"Selepas ini, kami akan buat penambahbaikan agar masalah sama tidak berulang," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kursus BL1M di Dewan Pejabat Daerah Jempol, semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin dan Pengerusi BL1M Malaysia merangkap Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin.
Mohd Nizam berkata, selain itu, pihaknya juga terpaksa menukar tempat ceramah undang-undang berikutan beberapa isu timbul pada saat akhir.
"Ceramah yang berlangsung selama lima jam ini sepatutnya diadakan di dewan pejabat daerah Jempol hari ini (semalam), namun disebabkan beberapa masalah ia terpaksa diadakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Seremban.
"Keadaan agak kelam-kabut tetapi kita berjaya menyelesaikannya selepas mendapat kerjasama dengan 26 syarikat bas yang bersetuju membawa 1,008 peserta BL1M secara konvoi ke JPJ Seremban,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nizam turut memohon maaf kepada semua terlibat terutamanya peserta berikutan isu yang timbul pada saat akhir, namun mahu semua peserta menganggapnya sebagai cabaran sebelum mendapat lesen.
Katanya, selepas selesai ceramah ini peserta akan menjalani proses ujian berkomputer di pekan Bahau dan pihaknya akan membantu sehingga semua peserta memperoleh lesen memandu (motosikal) masing-masing.
"Semua peserta tidak perlu bimbang dan hanya perlu datang sahaja kerana segalanya kami (penganjur) yang uruskan, namun terima kasih juga kepada mereka susulan memberikan kerjasama yang cukup baik,” katanya.
0 Komen