8 Mac 2013
Abu menunjukkan laporan polis yang dibuat anaknya di Balai polis Bandar Baru Bangi, 15 Januari lalu.
Bapa tersebut yang ingin dikenali sebagai Abu, 61, menjelaskan, anak perempuannya berumur 18 tahun yang juga merupakan pelajar sebuah kolej di Selangor terkejut setelah duitnya berjumlah RM1,700 lesap.
“Insiden itu bagaimanapun disedari anak saya ketika dia ingin membuat pengeluaran wang di mesin pengeluaran automatik (ATM) dekat Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 13 Januari dan mendapati duitnya berkurangan.
“Kemudian, saya minta dia buat semakan semula dekat bank simpanannya pada 15 Januari di Bandar Baru Bangi dan ternyata ada pihak mengeluarkan duitnya sebanyak empat kali berturut-turut sehingga RM1,700 pada 12 Januari lalu.
“Namun, anak saya menjelaskan kad banknya sentiasa ada dalam simpanannya dan disimpan rapi dalam dompetnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dekat rumahnya, kelmarin.
Tambah Abu, anaknya juga telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada 15 Januari lalu untuk tindakan lanjut.
"Saya buntu memikirkan nasib anak berikutan kami sekeluarga bukan orang senang bahkan sekadar melakukan kerja kampung selain pernah bekerja sebagai tukang kebun.
“Wang RM50 pun sudah cukup besar nilainya bagi saya, inikan pula RM1,700. Namun mujurlah ada lagi duit simpanan anak saya untuk menyara hidupnya ketika belajar di kolej, setidak-tidaknya dapat menampung untuk beberapa minggu lagi.
“Apa yang saya harapkan, agar perkara ini diselesaikan secepat mungkin selain duit anak saya akan dapat dikembalikan semula kerana hampir setiap hari saya fikirkan hal itu sehingga kerja harian turut terganggu,” katanya dengan nada sedih.
Justeru itu, saya mahu individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab ini dikenakan tindakan setimpal susulan ianya menyebabkan anak serta keluarga saya menghadapi kesukaran terutamanya bagi menampung perbelanjaan harian anak di kolej.
0 Komen