15 April 2013
Najeeb memukul gong sebagai gimik perasmian.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Rasah, Senator Datuk Najeeb Abdullah berkata, rakyat di kawasan Dun itu sudah muak dengan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) yang hanya turun pandang apabila menjelangnya pilihan raya.
“Kita akui BN berhadapan cabaran yang kuat untuk merampas kembali Dun ini, namun saya yakin masyarakat di sini sudah mula sedar pemimpin dan parti mana yang sepatutnya mereka pilih.
“Lagipun BN tidak pernah berhenti mendekati dan membantu rakyat di Dun ini, termasuk di tiga lagi Dun yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR) dalam Parlimen Rasah,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir merasmikan lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Bukit Kepayang di sini.
Menurutnya, tidak mustahil kemenangan di Dun Bukit Kepayang akan menjadi milik BN sekali gus mengulangi kejayaan pada pilihan raya 2004 lalu dengan kemenangan majoriti 450 undi.
Sehubungan itu Najeeb berkata, semua jentera parti diharap dapat berganding bahu dan sepakat dalam memastikan kemenangan kepada BN tanpa menjadikan siapa calon BN sebagai isu.
“Kita jangan ambil kisah siapa calon, kerana paling penting sekarang kita menyokong dan mengundi calon dari BN.
“Jangan disebabkan kepentingan dan kehendak peribadi akhirnya kita kecundang kerana tidak percaya dengan calon yang dipilih dari parti sendiri,” katanya.
Mengikut rekod, penyandang Dun Bukit Kepayang ialah Cha Kee Chin daripada DAP yang berjaya menewaskan calon BN, Datuk Chan Khee Voon dengan majoriti 5,700 undi pada PRU12 lalu.


0 Komen