30 April 2013
Shamsulkahar (tiga, kiri) sempat beramah mesra dengan peniaga kedai kuih di Bandar Seri Jempol, baru-baru ini.
Demikian kata calon BN bagi kerusi Dun Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli selepas berkempen di sekitar Bandar Seri Jempol, baru-baru ini.
Kata beliau, pihak lawan bebas untuk bertanding mahupun berkempen ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini berikutan Malaysia mengamalkan demokrasi.
“Cara mana pihak lawan untuk berkempen, terpulang kerana itu hak mereka, cuma tinggal lagi dari segi fitnah-memfitnah bukan budaya amalan BN.
“Apa yang mengecewakan, mereka (PR) sering buat pertuduhan tidak berasas, kemudian timbul pula persepsi atau celarukan minda dan pemikiran masyarakat pada hari ini iaitu ketika kita dalam suasana aman ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen di sekitar Bandar Seri Jempol, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Shamsulkahar berkata, menerusi perkembangan terkini yang diterimanya setakat ini, Dun Serting dilihat kekal sebagai kubu kuat BN.
Katanya, keyakinan itu juga diperkuatkan bahawa sebelum ini Dun Serting secara tradisinya dimiliki penuh oleh BN.
Malah, Shamsulkahar turut mengakui menerima sokongan penuh daripada kalangan pemuda dan pengundi baru.
“Sehingga kini juga, sepanjang tempoh lima tahun saya berkhidmat sebagai Adun Dun Serting sebelum ini, tiada masalah ataupun aduan tertunggak.
“Cumanya aduan tentang peneroka yang mahukan pinjaman perumahan Felda dipercepatkan, hal ini telah saya panjangkan kepada pengurusan Felda.
“Manakala, masalah bekalan air juga telah diselesaikan iaitu dengan naik taraf loji air Bahau, naikkan kapasiti air sedia ada untuk daerah Jempol khususnya kawasan Felda Serting Hilir Kompleks dan Raja Alias yang ada gangguan bekalan air,” katanya.
Namun kata Shamsulkahar, tindakan diambil oleh kerajaan negeri menaik taraf loji air di Bahau, Jempol daripada 7 juta gelen kepada 14 juta gelen dalam satu-satu masa, dengan kos RM40 juta, berjaya mengatasi masalah gangguan air.
“Dalam masa sama kawasan Felda Serting Hilir Kompleks yang mendapat bekalan air sepenuhnya dari Pahang sekarang ini 60 peratus bekalan air dari Bahau sudah sampai ke sana,” katanya.


0 Komen