14 April 2013
Kumar dan Ibrahim pada sidang media diadakan.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), T Kumar berkata, pihaknya akan berterusan mendedahkan isu pencerobohan dan penerokaan hutan secara berleluasa di negeri ini di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) berikutan tiada sebarang penjelasan dan tindakan setakat ini.
“Kita mempunyai laporan di mana setiap tahun sebanyak satu peratus kawasan hutan simpan di negeri ini telah ditebang sedangkan mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, tiada seorang pun boleh menggunakan atau membenarkan menggunakan mana-mana tanah atau bangunan melainkan menurut rancangan tempatan.
“Tapi saya sangat kecewa kerana tiada sebarang tindakan diambil oleh mana-mana pihak berhubung isu ini walaupun ia telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya pada sidang media diadakan di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Penerangan Parti PKR negeri, Ibrahim Yusof.
Menurutnya, PR tidak akan berkompromi dengan isu tersebut kerana ia melibatkan kepentingan dan masa depan rakyat.
Kumar berkata, kawasan hutan simpan perlu dipelihara kerana ia merupakan khazanah negara.
“Tapi berkemungkinan BN sudah menjangkakan yang mereka akan kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PU13) ini dan sebab itu mereka boleh buat apa sahaja.
“PR dan rakyat perlukan penjelasan berhubung perkara ini dan jika pihak terlibat terus mendiamkan diri, kita akan dedahkan isu penerokaan lain dalam masa terdekat,” katanya.


0 Komen